“Inilah Jadual Makan Dan Diet Saya Selama 3 Bulan, Berjaya Hilang 40 Kg” - Lelaki Ini Kongsi Resepi Berjaya Kurus


kurus
Mesti ramai di luar sana yang mempunyai berat badan berlebihan. Di Malaysia sememangnya masalah obesiti kini semakin berleluasa.
Namun dalam hati kecil, mereka yang mempunyai berat badan berlebihan ini sudah tentu memasang niat untuk menurunkan berat badan dan menjadi kurus.
Satu perkongsian bermanfaat telah dikongsikan oleh seorang lelaki yang berjaya menurunkan berat badannya.
Dulu berat badannya mencecah 120 kg namun yang terkini beratnya hanya 78 kg sahaja. Saiz pinggangnya pula berubah dari 46 inci menjadi 36 inci.
Lelaki bernama Arif Sukri ini berkongsi jadual makanan dan juga dietnya. Disamping itu terdapat juga tips penting darinya.
Ini perkongsian dari Arif:
Jom baca:

HILANG 40KG DALAM 3 BULAN

Saya telah menulis begitu banyak mengenai perjalanan mengurangkan berat badan. Hilang 40 kg dalam tempoh 3 bulan memang memerlukan banyak pengorbanan dan komitmen
Pada awal penulisan dahulu saya tidak mencadangkan korang untuk follow jadual pemakanan saya. Pada saya ambil tahu syarat-syarat makanan apa pun dah baik.
Hahaa. Tapi korang tak nak. Kemain juga nak tahu rejim dan jadual diet saya. Sama sahaja. Yang pasti makan kena cukup 6 kali sehari.

JADUAL MAKAN

1. Sarapan pagi

Setiap pagi saya akan pastikan benda pertama masuk ke dalam mulut adalah air masak. Minum air masak segelas atau dua gelas sebelum solat subuh. Selepas itu boleh mula sarapan.
Jujur 2 minggu pertama saya makan OAT KOSONG. Hahaa. Tiada susu, kurma, atau buah. Oat dan air suam sahaja. Dia punya rasa ya tuhan. Tujuan 2 minggu pertama adalah nak potong makanan yang bergula.
Selepas dua minggu pertama saya mula makan oat bersama susu gabung, kurma, kismis. Jam 6-9 pagi masa sesuai untuk sarapan.

2. Minum pagi

Saya tidak cerewet dengan minum pagi. Sebab sebelum minum pagi pun saya minum air kosong banyak dah. Huhu. Untuk minum pagi korang boleh cari biskut oat dalam 3 keping atau kuih satu atau setidak-tidaknya adalah kurma. Saya pilih kurma sahaja.

3. Makan tengahari

Ini kena kawal. 15-30 minit sebelum makan tengahari saya akan minum air masak terlebih dahulu. Ini agar perut saya terisi. Jadi nanti bila makan pun tak adalah nak makan banyak banyak sebab perut dah penuh air. Kahkah.
Tapi makan tetap kena makan. Nasi segenggam + ayam bakar, ikan bakar dan katakan tidak pada yang bergoreng. Kuah pula pilih yang paling sedikit penggunaan minyak. Saya pilih sup atau singgang. Dan pastikan ada sayur atau ulam-ulam. Serat bagus untuk badan kau juga.

4. Minum petang

Pun sama. Kadang-kadang saya minum teh hijau kosong. Teh yang tiada gula ataupun kopi kelat sahaja. Hahaa. Rasa tak payah cakap. Kau minum dulu nanti bagitau.
Selama dua bulan berturut-turut saya tidak minum air yang mengandungi gula tambahan. Kalau tak mahu minum teh atau kopi kau boleh minum air kosong sahaja.
Milo untuk 2 bulan pertama saya tak ambil langsung. Sebab agak manis walau dibancuh tanpa gula. Untuk makan masa rehat petang-petang ni kau boleh cari kek, pau kacang atau biskut ringan tak lebih dari 3 keping.

5. Makan malam

Di antara waktu 6-8 malam kau dah mesti makan malam. Terserah sama ada nak makan sama dengan menu tengahri atau nak ubah. Biasa malam saya akan makan bihun sup, mee sup ayam atau nasi berlauk sama macam tengahari.
Kuantiti tetap sama. Karbohidrat masih segenggam. Bihun sup separuh, mee sup separuh. Nasi pun separuh sahaja. Malam tak bagus kalau banyak sangat karbo.

6. Minum malam

Saya akan akhiri hari diet dengan minum susu kosong dan campur sedikit oat, kurma dan sedikit madu. Saya pilih susu omega (plastik warna merah. Makan tak ada sebab dah ada oat sikit. Epal pun baik. Simpan stok banyak banyak. Hehe

NOTA PENTING

Nota-nota lain yang perlu anda tahu mengenai diet saya.
-Saya tidak makan apa-apa suplimen.
-Dua bulan pertama tiada air manis masuk ke dalam mulut.
-Sarapan adalah oat dan air suam sahaja. Korang boleh? Kahkah.
-Walaupun diet kena ada cheats day untuk reset balik diet. Buat seminggu sekali sahaja.
-Sebulan pertama tanpa senaman cardio dan hanya berjalan kaki 20 minit setiap petang saya berjaya hilangkan 5-7 kg.
-Kualiti dan kuantiti makanan itu paling utama
-Makan bersulam dengan air adalah dilarang. 30 minit selepas makan baru minum. Kalau pedas cukup seteguk dua.
-Jangan tidur atau terus baring 2 jam pertama selepas makan.
-Jangan tinggal buah.
-Sardin, sos, kicap, budu, ikan kering dan seangkatan yang tinggi garam juga saya tak sentuh.
-Akhir sekali jangan timbang kerap. Hahaha. Nak diet tak boleh stress. Kena layan dan santai sahaja. (Nanti saya kongsikan waktu bila sesuai timbang)

BAHAGI KUANTITI MAKANAN

Bahagikan portion makan dengan bijak
Kejayaan mengurangkan berat badan adalah bergantung kepada gaya pemilihan makanan yang bijak dan jumlah kuantiti yang betul.
Cara meletakkan kuantiti makanan seperti dalam pinggan ini sangat membantu. Hanya perlu masukkan jumlah yang tepat sahaja.
Ini adalah nutrisi yang memang perlu ada dalam setiap hidangan kita.
1. Karbohidrat ( Nasi putih, nasi perang atau roti)
2. Protein (Ayam, daging, ikan)
3. Fiber atau vitamin (Sayur, ulam-ulaman atau buah-buahan.
Dengan gabungan ketiga-tiga nutrisi ini ia sudahpun dapat menampung jumlah tenaga anda sehari-harian.
Dengan memilih makanan yang kurang minyak, rebus-rebusan atau jenis yang dipanggang anda sebenarnya sudah selangkah ke arah berat badan yang ideal.
Lagi banyak anda kurangkan makanan berlemak, masin dan berminyak, lebih cepat peratus untuk anda kurangkan berat badan anda.
Boleh lah cuba formula pinggan nutrisi ini.
Diet bukan tujuan. Matlamat kita adalah kesihatan yang berkualiti. Diet tidak ada ada pengakhiran dan ia adalah perjalanan hidup. Harap tip ini manfaat untuk korang semua.
Arif Sukri
Ustaz Fitness Nasional
Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua. Sila share kepada rakan-rakan.
Kepada yang ingin kurus tu bolehlah mencuba. -PENMERAHDOTCOM