Gara-Gara Handphone, Tangan Tersangkut Dalam Lubang Tandas


GUANGDONG, CHINA - Seorang lelaki terpaksa menahan 'derita' di tandas rumahnya kerana tangan kirinya tersangkut dalam lubang tandas selepas percubaan menyelamatkan telefon bimbitnya yang terjatuh, gagal. 

Pada jam 6.40 pagi, Rabu, pihak bomba bandar Huizhou, menerima panggilan dari orang awam yang mengenai kejadian itu. Satu pasukan bomba segera dikerahkan ke lokasi dan setibanya di rumah itu, mereka mendapati mangsa meniarap di tandas tersebut dengan tangannya tersangkut dalam lubang tandas. 

Menurut mangsa, dia sebelum itu ada mengambil minuman keras sebelum masuk ke tandas sekitar jam 2 pagi. Secara tidak sengaja, telefon bimbitnya terjatuh ke dalam lubang tandas tersebut. Dalam keadaan terdesak, mangsa cuba mengambil semula telefon bimbitnya itu, namun tersangkut. 


Lebih teruk lagi, lelaki itu tinggal bersendirian. Tiada sesiapa yang mendengar tangisan dan jeritannya meminta tolong. Sepanjang malam dia terpaksa meniarap di tandas itu dengan tangannya tersangkut dalam lubang tandas. 

Mujur salah seorang jirannya terdengar jeritannya meminta tolong, sekitar jam 5 pagi.Namun ia mengambil masa hampir sejam untuk jirannya mengetahui apa yang sebenarnya berlaku pada mangsa sebelum menghubungi pihak bomba yang datang terpaksa memecah masuk rumah mangsa. 

Pihak bomba menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan seperti itu sekiranya barang peribadi terjatuh ke dalam lubang tandas bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.


Sebelum ini, pernah berlaku di mana kepala seorang lelaki tersangkut dalam mesin basuh semi automatik selepas mangsa cuba membaiki mesin tersebut. - The Reporter