'Alahai Orang Muda Takde Hati Perut...'


KUALA LUMPUR - Sudah beberapa kali viral di media sosial akan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna tren yang duduk di zon keutamaan penumpang yang memerlukan tempat duduk. Biarpun teruk dikecam netizen, namun ada yang masih tidak mengambilnya sebagai pengajaran. 

Terbaru, insiden yang sama turut berlaku pada pasangan ini yang membawa anak kecil mereka menaiki pengangkutan awam itu. 

Wendy, yang memuat naik dua gambar remaja lelaki itu jelas sekali kecewa dengan sikap yang ditonjolkan mereka. Hanya kerana menegur mereka, wanita ini pula yang dimarahi mereka. 

"Dua remaja lelaki ini memarahi saya kerana saya telah menegur mereka bahawa tempat duduk itu sepatutnya diberikan kepada penumpang yang memerlukannya. Namun, mereka enggan berganjak dan leka menangkap raksasa Pokemon. 

"Biar mereka menjadi famous kerana memarahi saya dengan lantang dalam tren," katanya. 

Sebagai orang muda, apalah salahnya berikan tempat duduk untuk penumpang yang memerlukan terutamanya penumpang yang membawa anak kecil, wanita mengandung, warga tua dan OKU. Orang muda yang masih mempunyai tenaga dan mampu berdiri, tunjukkanlah sikap prihatin terhadap golongan ini.

Jika orang muda berterusan bersikap seperti ini, jangan hairanlah bila orang lain turut akan membalas perbuatan itu pada diri mereka suatu hari kelak. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah ada anak dan ketika itu, barulah mereka faham apa yang dirasakan oleh mereka yang telah dianiaya orang yang tidak bertanggungjawab. - The Reporter