1. Sediakan jadual menonton TV
Takkan di rumah pun perlu ‘strict’ begini? Macam pejabat pula mahu ada ‘timetable’. Percayalah, jika ada jadual, anak kita akan lebih rasa dirinya diawasi sentiasa. Lebih-lebih lagi jika jadual itu ditampal, terpampang di dinding. Namun, jadi fleksibel dalam keadaan tertentu. Benarkan anak menonton rancangan kegemarannya dalam masa yang ditetapkan.
Anak akan rasa tanggungjawab. Apabila terlebih masa, kita boleh kata, “Haaa… dan pukul berapa dah ni? Mama cakap sampai pukul berapa”. Bila kata-kata begitu keluar dari mulut ibu-bapa, mereka terpaksa akur dengan arahan. Bukankah jadual itu yang dipersetujuinya dahulu?
Kalau main gajet, tetapkan masa berapa lama mereka boleh tengok YouTube. Hadkan masa dengan cubaan 1 jam dahulu.
2. Kenalpasti rancangan kegemaran anak
Jika di rumah ada langganan Astro, mesti ada ulangan. Sampai ada orang kata, “Alah, Astro. Asyik ulang-ulang je cerita.”. Namun ada kebaikannya begitu. Anak kita boleh menonton rancangan itu. Jika Astro ada fungsi rakaman, rakam cerita tersebut. Bila anak dapat tonton rancangan kegemarannya, kurang sedikit sikap ‘rebellious’ atau suka menentang dan marah-marah. Anak akan rasa puas hati.
Seperkara lagi, jika anak ‘buat muka’ tidak dapat tengok TV, usah benarkan anak buka komputer atau PlayStation. Tiada maknanya berbuat begitu. Jika ada YouTube, lebih mudah. Berikan anak tonton Upin & Ipin yang bukan sahaja menarik, malah memberi ilmu pada anak kita.
3. Tutup TV, Sorokkan Gajet
Mudah bukan? Pada hari persekolahan, ketika mereka sedang membuat kerja rumah, tutup sahaja TV. Bunyi bising atau ‘noise’ dari TV akan mengganggu tumpuan mereka. Jika adik mereka yang kecil berkeras mahu tonton juga rancangan kartun kegemaran, pujuk agar perlahankan sedikit ‘volume’. Takut abang dan kakaknya ‘join’ sekaki pula. Letak gajet tinggi-tinggi sampai anak tidak boleh ambil. Biar sahaja dia nampak, tetapi tidak boleh capai. Macam zaman dulu-dulu, ibu-bapa kita gantung basikal kerana tidak mahu kita ligat main basikal tanpa mengira penat!
4. Banyakkan aktiviti bersama anak
Bila kali terakhir anda main ‘chess’ dengan anak? Main Lego? Main Play Doh? Atau paling mudah, main ‘kuda-kuda’ dengan anak? Nampak, ramai ibu-bapa zaman sekarang mengabaikan anak tanpa sedar. Mereka mahukan perhatian kerana sudah seharian berada di rumah penjaga atau ‘nursery’. Mereka tidak faham erti kata “Mak penat. Ayah penat. Pergi main sana”.
Bila tiada orang melayan mereka, sebab itu mereka beralih ke kaca televisyen. Pada hujung minggu, buat aktiviti luar atau dalam rumah bersama mereka.
5. Keluar dari rumah
Apabila berada dalam rumah, aktiviti menjadi terhad. Dulu-dulu, kita main panjat pokok, pengantin-pengantin, baling selipar, baling tin, konda-kondi dan macam-macam lagi. Sekarang, tidak selamat berbuat begitu. Luar rumah pun bukannya ada pokok yang boleh dipanjat. Bila tiada aktiviti, anak jadi bosan. Bila bosan, kepada TV dan gajet jua mereka pergi.
Beralih kepada aktiviti luar rumah seperti main basikal dan bola bersama-sama. Jika kawasan berdekatan ada kelas-kelas sukan, masukkan mereka dalam kelas seperti Tae-kwon-do, Aikido, badminton dan lain-lain.
6. Belikan buku dan galakkan anak membaca
Anak-anak suka pada benda visual, iaitu gambar. Pupuk minat membaca pada anak sedari awal lagi. Elakkan membeli buku yang tebal, penuh dengan tulisan sahaja dan tidak menarik. Buku-buku ensiklopedia bergambar pasti akan menarik minat mereka. Kalau anak suka dinosaur, belikan buku yang tentang dinosaur. Kalau anak suka tentang geografi, belikan buku yang menunjukkan tempat menarik di seluruh dunia yang menunjukkan keindahan alam ciptaan Allah.
7. Tunjukkan tauladan yang baik
Kalau mahu anak jauhkan diri dari TV, ibu-bapa juga perlu menahan sabar dan keinginan menonton TV juga. Apa perasaan anak kalau ibu-bapa bagaikan perumpamaan ‘Seperti ketam mengajar anaknya berjalan’? Tentu dalam diam anak berkata berkata, “Eleh, mama tak bagi kita tengok TV. Mama tengok tu boleh?”. Apa nak jawab kalau anak menyuarakan perasaan tidak puas hati dan protes sebegitu?
Sebaiknya, ajak anak tengok bersama. Beralah sedikit dengan mereka. Tonton rancangan kegemaran mereka sekali. Jika anak suka tengok “Upin dan Ipin”, apa salahnya kita tonton bersama?
Selamat mencuba!
Sumber: Sirap Limau
via Bin Usrah