Anak-anak bukan bebanan, masih berdua bukan kesalahan



Semalam semasa membawa anak-anak beriadah, kami terserempak sepasang pengantin baru, dengan inai merah dijari berpimpinan tangan berjalan-jalan di sekitar jeti. Suatu masa dahulu, semasa anak masih seorang, sewaktu berjalan hujung minggu di Hyde Park, pernah saya katakan kepada suami mahu berpimpin tangan dengannya kerana seusia kelahiran anak sulung kami itu (seingat saya waktu itu dia baru 5-6 bulan) kami tidak dapat jalan berpimpin tangan lagi. Lalu dia mengambil tangan saya, dipimpinnya, sambil sebelah tangan lagi menolak stroller anak. 

Tidak jauh. Lebih kurang 10 langkah, perjalanan ala-ala romantik itu berakhir. Saya menyerah kalah. Sukar untuk berpimpin tangan apabila ada satu stroller perlu ditolak di tangan yang satu lagi, ia seperti menyusahkan suami saya untuk melakukan kerja yang perlukan kedua-dua belah tangan dengan menggunakan satu tangan sahaja.

Kemudian, anak kami bertambah lagi. Dan lagi. Dan lagi. Ada suatu masa, kami berdua perlu tolak dua stroller (masing-masing tolak satu stroller) sambil menjerit-jerit mengawal anak sulung yang menggunakan skuter roda tiga mengelilingi park.

Satu hari, pada 2015, ada orang menawarkan untuk menjagakan anak kami seketika, lalu buat kali pertama setelah lima tahun bergelar ibu bapa (pada waktu itu) kami berpeluang keluar berdua, berpimpinan tangan menyusuri Wulfstan Street, menuju pekan kecil East Acton. Beberapa buah bas bernombor 7, 72 dan 272 melintas, namun sengaja kami tidak menaikinya, sedaya mungkin mahu menikmati peluang yang tidak selalu datang itu. 

Separuh jalan, hati terasa lain. Tiada apa yang kami borakkan. Kedua-duanya diam membatu. Lalu suami saya berkata, "Tengah buat apalah anak-anak kita. Mereka perasan atau tidak kita keluar tadi". Tepat seperti apa yang sedang saya fikirkan juga. Rupanya tidak sama langsung perasaan meninggalkan anak kerana komitmen keluar berkerja dengan meninggalkan anak dijaga orang lain kerana suka-suka, demi sedikit rehat untuk jiwa sendiri. Berbeza.

Benar, perjalanan kami, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, baik berjalan kaki, berkereta, menaiki bas, kapal terbang atau tren tidak pernah aman damai, sentiasa huru hara dengan ada yang mahu makannya, belum kira yang saling menyakat dan disakat, yang menjerit tidak tahu punca, namun itulah jalan yang Allah pilihkan buat kami. Biarpun perlu bernada tinggi selalu bila hendak berbual suami isteri,kerana ada anak yang sedang menyanyi, ada yang lain minta dilayani, tapi kepenatan itulah yang sebenarnya merehatkan. Ia sejenis terapi jiwa.

Sebelum peristiwa itu, saya selalu mengandaikan betapa seronoknya rakan-rakan kami yang berjalan berpimpinan tangan kerana belum ada komitmen anak. Sehingga pernah saya katakan kepada suami, seronok jadi orang sekian sekian itu, ke sana ke mari berdua sahaja, boleh berpimpin tangan, tidak perlu menolak stroller, tidak perlu bawa lunchpack berisi snacks, beg sandang berisi pakaian ganti andai ada yang termuntah, ter'accident', makanan dan air tumpah segala. 

Suami saya mengingatkan semula bahawa kita tidak tahu di lubuk hati mereka, setelah pernikahan melewati tahun-tahun yang lebih daripada satu, dua, tiga, betapa mahunya mereka jadi seperti kita - yang tidak lagi berpimpin tangan berdua-dua berpasangan sebaliknya perlu mencebet tangan-tangan kecil sambil menyeiringkan langkah kita dengan tapak kaki kecil mereka. 

Kita tidak tahu disaat kita mencemburui waktu yang mereka ada untuk berdua-duaan bermanis-manisan, mereka sangat ingin merasakan keletihan kita dengan si kecil yang perlu dijaga, diberi makan, diasuh dan diberi didikan. Mungkin sangat ingin mereka gantikan masa bersunyi-sunyi melayan perasaan sendiri dengan hiruk pikuk tangisan si kecil yang mahukan mangkuk makanannya diisi.

Buat yang sudah bertiga, berempat, berlima, berenam dan seterusnya, ketahuilah apa yang dikorbankan hari ini Allah janjikan pahala yang berlipat kali ganda. Keletihan, juga keterasingan dan rasa seperti semakin berjauhan walaupun dekat, moga-moga itulah yang membuahkan ikhtiar dan kreativiti untuk mencambah rasa cinta sekaligus menjadi pengikat kasih suami isteri.

Buat yang masih berdua, bersabarlah. Ingatilah ketika Imran dan Hannah berdoa demi sebuah kurniaan rezeki bernama cahaya mata. Lalu mereka diuji dengan meningkatnya usia namun rezeki untuk memiliki zuriat sendiri belum juga kunjung tiba. Mereka tetap bersabar dan saling mengasihi lalu Allah berikan Maryam kepada mereka. Sungguh dengan Kun fayakun, tiada apa yang mustahil dan terasing dari kudrat Allah Taala.

Kehadiran anak-anak dalam hidup suami isteri bukanlah beban yang meletihkan dan menjadi sesalan. Sekiranya masih berdua, ia juga bukan kerana dosa dan kesalahan. Semuanya adalah apa yang terbaik Allah berikan sesuai waktu dan keadaan.

Ini jalan yang Allah pilihkan buat kita. Harungilah.