Apabila memerhatikan gelagat masyarakat Islam dalam negara kita ketika di dalam masjid, maka sering kita terlihat perbuatan lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang.
Tanpa rasa bersalah, malah dengan bangga pula boleh lalu di hadapan orang yang bersembahyang. Nampaknya, perbuatan ini semacam menjadi kebiasaan dan tidak dianggap salah.
Tidakkah pernah terlintas dalam fikiran kita apakah yang sedang dilakukan oleh orang yang sedang bersembahyang itu. Adakah dia sengaja berdiri? Tidakkah kita tahu bahawa seorang yang sedang sembahyang itu sedang bermunajat dengan Tuhannya?
Pernahkah kita mendengar hadis Nabi Muhammad SAW yang dilaporkan oleh Anas bin Malik: "Seseorang yang sedang sembahyang itu sebenarnya sedang bermunajat kepada Tuhannya. Oleh itu jika dia hendak meludah, maka janganlah meludah di hadapan atau di sebelah kanannya. Tetapi ludahlah di bahagian kirinya, di sebelah kaki kirinya". (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Kalau hendak meludah pun tidak dibolehkan di bahagian hadapan tempat kita sujud, adakah boleh kita dengan selamba lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang yang sedang bermunajat dengan Tuhannya?
Abu Soleh al-Samman melaporkan: "Saya pernah melihat Abu Sa'id al-Khudri sembahyang sunat pada hari Jumaat di masjid. Di hadapannya diletakkan sesuatu sebagai tanda ruang untuk beliau sujud. Beliau meletakkan tanda itu agar orang tidak lalu lalang dalam ruang antara dia dan barang tersebut".
"Kemudian ada seorang pemuda daripada keluarga Abu Mu'it hendak lalu di hadapannya. Apabila pemuda itu hendak lalu, Abu Sa'id pun mendepakan tangannya melarang pemuda itu daripada lalu. Pemuda itu pun melihat wajah Abu Sa'id. (Mungkin merasa pelik kenapa Abu Sa'id mendepakan tangannya melarang dia daripada lalu) Pemuda itu mencuba sekali lagi untuk lalu di hadapan Abu Sa'id.
"Pada kali kedua ini Abu Sa'id melarang dengan cara yang lebih keras. (Mungkin tangan yang didepakan itu terkena dada pemuda itu dengan agak kuat berbanding kali pertama). Kemudian pemuda itu berjumpa dengan Marwan. Beliau mengadu kepada Marwan terhadap apa yang telah dilakukan oleh Abu Sa'id itu tadi.
"Sejurus selepas itu Abu Sa'id pun datang, lantas Marwan pun bertanya kepadanya, "Apa yang saudara telah lakukan terhadap pemuda ini wahai Abu Sa'id?" Abu Sa'id pun menjawab, "Sebenarnya saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, "Jika salah seorang daripada saudara sedang sembahyang dan di hadapannya ada sekatan (tanda) agar orang lain tidak lalu di hadapannya itu."
Kemudian ada orang yang ingin lalu di hadapannya (antara orang yang sedang bersolat dan sekatan), maka hendaklah dia melarang orang yang ingin lalu itu. (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang adalah satu dosa besar.
Abu al-Nadr, pembantu peribadi Umar bin Ubaidillah melaporkan: "Bisyr bin Sa'id melaporkan daripada Abu Juhaym, nama sebenarnya Abdullah bin al-Harth bin al-Sammah al-Ansari, beliau berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda jika orang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersolat mengetahui apa yang akan dikenakan ke atasnya (daripada dosa yang besar), maka lebih baik untuk dia berdiri menunggu (sehingga orang itu selesai solat) selama 40 (hari/bulan/tahun) daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersolat itu. Abu al-Nadr berkata, Saya tidak pasti sama ada 40 hari atau bulan atau tahun. (hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain)."
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam bukunya Fath al-bari syarah sahih al-Bukhari dan Imam al-Syawkani dalam bukunya, Nayl al-awtar, menjelaskan bahawa bilangan 40 itu tidaklah difokuskan kepada bilangannya tetapi bertujuan sebagai menggambarkan betapa besarnya dosa lalu di hadapan orang yang sedang bersolat berbanding dengan berdiri walau terlalu lama sehingga orang itu selesai daripada solatnya.
Sementara itu, Imam Nawawi dalam bukunya Syarah sahih Muslim memberikan komentarnya, “Hadis ini menjelaskan betapa besarnya dosa lalu di hadapan orang yang sedang bersolat, di mana balasannya di akhirat akan dihumbankan ke dalam api neraka. Solat yang sedang didirikan itu sama ada solat wajib atau sunat."
Oleh itu jelas kepada kita bahawa lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang adalah satu dosa. Sebelum kita lalu, pastikan adakah di hadapan orang yang sedang solat itu diletakkan sesuatu sebagai tanda penghadang, seperti tongkat, beg, tasbih, sejadah, dan seumpamnya.
Jika ada, kita boleh lalu di luar kawasan solat orang itu iaitu di hadapan penghadang itu. Jika tiada penghadang, tukarlah arah. Cari laluan lain untuk dilalui.
Perlu dijelaskan bahawa perbezaan warna pada permaidani; sebagaimana yang ada di dalam masjid di negara kita, itu tidak dianggap sebagai penghadang. Ia hanya untuk memudahkan para jemaah meluruskan saf sahaja.
Sumber : sentiasapanas.com
via Bin Usrah