Semakin lambat kita beli rumah, semakin tinggi bayaran bulanannya


PUTRAJAYA - Kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyarankan rakyat menyewa rumah berbanding membeli rumah bagi mengelakkan hutang jangka masa panjang, pastinya menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 


Namun bagi 'otai hartanah' seperti Dr Azizul Azli Ahmad pula mempunyai pandangannya tersendiri. 

"Pandangan saya yang lemah dan tidak pandai ini, begini. Bagaimana sedang kita sewa dah lebih 10 tahun, tiba-tiba kita meninggal dunia, hilang keupayaan atau mati dilanggar lori? 

"Semakin lambat kita beli, semakin kecil tempoh pembiayaan yang kita dapat. Semakin tinggi bayaran bulanan yang kita perlu bayar. Semakin lewat kita membeli rumah, semakin tinggi kadar takaful yang kita kena tanggung. Bila umur dah 40 tahun baru nak beli rumah, pihak bank rasa kita dah hidup tak lama lagi. 

"Peraturan dan kawalan perundangan kerajaan tempatan di UK berbeza dengan peraturan di Ulu Kelang. Jika kita beli awal dengan purata kenaikkan hartanah sekitar RM30,000 setahun, kita ada aset berharga. 

"Cadangan menyewa tidak membantu meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera yang sedia rendah. Mop lantai di rumah yang kita sewa dengan rumah sendiri ada bezanya di mana kasih sayang waktu mop lantai rumah sendiri lebih tinggi. 

"Golongan 'kapitalis' yang banyak rumah akan terus kekal kaya, kita yang miskin akan terus menyewa. Isteri akan lebih cintakan kita jika rumah yang kita duduk ada bahagiannya jika kita tiada nanti. Lebih senang nak meluaskan dapur gaya hipster bagi mertua sayang sebab rumah kita bukan rumah sewa. 

"Memang nasihat menteri ini ada benarnya meminta kita bersedia dari segi kewangan sebelum rumah. Bila dah ada wang, baru beli rumah, jangan kekal menyewa. Ini sekadar pandangan Abah Qilah yang ensem sahaja, bukan siapa-siapa," tulis beliau di Facebooknya semalam yang telah dikongsi 400 lebih followersnya. - The Reporter