'Dik, mana nak dapat bantuan beras?'


KUALA SELANGOR - Dalam kebasahan hujan lebat, tiga beranak ini terpaksa meminta bantuan seorang wanita yang kebetulan berhenti untuk menumpang solat di sebuah Stesen Petronas. 

Emma Minhat, tidak menyangka yang seorang ibu bersama dengan dua anak kecilnya itu yang meminta bantuan beras kerana barangan dapur mereka sudah habis. Tambahan pula, suaminya yang bekerja mengutip buah kepala sawit itu sudah beberapa hari tidak berkerja kerana hujan. 

"Tatap wajah tiga beranak ini dalam kesejukan. Saya jumpa mereka semasa berhenti untuk solat di Stesen Petronas Puncak Alam. Kakak itu malu-malu nak tanya saya, di mana nak mendapatkan bantuan beras. Saya terpinga-pinga sebab ingatkan dia bercakap dengan siapa. 

"Saya beritahu yang saya tidak tahu dan bertanya apa masalahnya. Menurutnya, berasnya sudah habis. Nak minta di masjid, hanya boleh sebulan sekali sahaja. Suaminya kerja mengutip buah kelapa sawit tetapi hujan setiap hari menyebabkan suaminya tidak dapat bekerja," kata Emma. 


Wanita itu juga memaklumkan kepada Emma yang dia datang dari Bukit hijau menaiki motosikal dengan dua anaknya. 

Bersimpati melihat nasib wanita itu dan anak-anaknya yang mengigil kesejukan, Emma menghulur sedikit bantuan kepadanya. 

Perkongsian Emma itu viral di media sosial dan kini telah dikongsi 8,465 pengguna Facebook dan 10,000 likes. 

Menurut Mohd Mokhtar, dia pernah menghulurkan bantuan kepada wanita ini pada awal November lalu dan mengesahkan bahawa keluarga wanita ini memang golongan susah. 

"Saya dah ziarah dan tolong serahkan sumbangan orang ramai kepadanya pada awal bulan 11 tahun lalu. Dia duduk di rumah pusaka. Ada tiga keluarga dalam rumah itu. Kakak ini ada tiga orang anak termasuk seorang bayi. 

"Saya jumpa dia di Masjid Meru ketika dia (masih dalam pantang) sedang meminta bantuan beras di masjid berkenaan. Rumah dia dalam kawasan kebun sawit. Hari pertama nak sampaikan bantuan, tak berjaya. Janji nak jumpa ambil bantuan di Econsave Puncak Alam. Saya dan kawan tunggu dua jam tak sampai-sampai. Call dah tak menjawab. keesokan hari cuba call lagi dan baru dapat. Katanya dia dan suaminya kemalangan ketika dalam perjalanan untuk bertemu dengan saya. 


"Keesokannya saya pergi ke rumah mereka. Sampai di sana, memang benar dia jatuh motor. Tangan dia juga luka teruk, kesan dari jatuh motor. Begitu juga dengan anaknya yang mengalami luka di kepala," katanya. 


Susulan viralnya perkongsian Emma Minhat, tampil seorang wanita memberikan sedikit bantuan kepada tiga beranak berkenaan di stesen Petronas tersebut. 

Justeru Emma meminta orang ramai yang sudi menghulukan sumbangan/bantuan, bolehlah menghubungi suami wanita berkenaan di nombor 0122724070. - The Reporter