Ingat ada menantu, ibu boleh tarik nafas, rupanya makin teruk

  • Menantu layan ibu mertua seperti hamba, suami buat-buat tak tahu
  • Isteri beri alasan sibuk bekerja sampai tiada kesempatan nak uruskan makan pakai suami
  • Ibu mertua hilang sabar & meletup, namun tidak berani bersuara, takut anak & menantu pindah
  • Anak-anak lain kasihan melihat ibu dilayan seperti itu oleh kakak ipar
  • 7 tips yang anda perlu tahu bila duduk di rumah mertua



Assalamualaikum. Saya harap penulisan aku ini dapat menyuntik sedikit kesedaran atau mungkin mengubah sedikit pandangan umum mengenai ‘memantu yang duduk dengan mertua’.

Selalu kita dengar luahan si menantu yang duduk rumah mertua saja kan? Selalu isu yang kita dengar mak mertua cerewet, mak mertua itu, mak mertua ini, ipar duai itu. ipar duai ini. Boleh dikatakan 90% kisah yang saya baca tentang isu ini, negatif ke arah keluarga mertua. Atau mungkin itu sekadar pandangan saya saja?

Kalau ada yg terseksa duduk di rumah mertua, didera dan lain-lain, saya minta maaf terlebih dahulu, mungkin itu salah satu ujian untuk menguatkan anda. Redha, cari jalan penyelesaian terbaik.

Saya juga duduk di rumah mertua sebab suami ada tanggungjawab yang dia perlu selesaikan sebelum kami memilih untuk duduk di rumah sendiri. Kami ada anak, duduk dengan mertua yang ada ramai anak. Ya rabbi, ujian hati jangan ditayan, air mata selalu saja mengalir. Kalau saya tadah, boleh dibuat swimming pool. Tapi alhamdulillah saya sentiasa cuba positif, pandang pada sudut hikmah. 

Setakat ini, mak mertua okey dan ada juga hal-hal yang remeh berlaku, saya buat tak tahu saja. Yelah, kita tak boleh harapkan mak mertua layan kita seperti ibu kandung kita. Mana boleh bandingkan adik beradik ipar seperti adik beradik kandung kita. Orang asing, kan. Kita nak terima dalam hidup, memang banyak makan hati. 

IBU DIPERHAMBAKAN OLEH KAKAK IPAR

Apa yang saya nak ceritakan ialah tentang kakak ipar saya yang berkahwin dengan abang saya. Maksudnya, menantu kepada mak saya dan mereka tinggal bersama. Saya sebagai individu yang duduk dengan mertua lebih lama dari dia, jadi saya memang faham sangat-sangat dengan situasi dia. Jadi, jangan beri alasan yang tak masuk akal. 

Pada mulanya, saya perasan yang ibu saya diperhambakan oleh kakak ipar. Selepas sebulan mereka berkahwin, atas alasan tanggungjawab pada ibu dan ayah,abang saya buat keputusan untuk bawa isterinya tinggal bersama ibu dan ayah. Kami adik beradik yang lain positif dan bersyukur dengan keputusannya. Lagipun ibu dan ayah sudah berusia. Jadi bila abang ada, kami adik beradik yang lain rasa lega. 

Tetapi apa yang tidak seronoknya ialah, setiap kali bila saya balik ke rumah ibu di hujung minggu, ada saja cerita yang tidak enak. Saya okey lagi, ingat ibu hanya meluahkan perasaan saja sebab dia dah ada ramai menantu dan macam-macam cerita yang saya dah dengar. Tetapi apa yang kakak ipar saya ini buat memang panas juga. Sedangkan saya sebagai anak pun tak buat perkara seperti itu pada ibu sendiri, apatah lagi dengan ibu mertua.

Bayangkan, baju suami dia, ibu saya yang basuh, sidai dan lipat. Makan minum suami dia, ibu yang sediakan. Suami dia kerja syif pagi, ibu yang sediakan makanan. Dia? Terbungkang lena. 

Soalan yang saya selalu tertanya-tanya, atas sebab apa mereka berkahwin kalau sebelum kahwin ibu saya dah kena buat kerja-kerja itu? Selepas kahwin pun sama, kerja tambahan yang ibu saya dapat. 

Baju dia, ibu yang basuh, sidai dan lipat. Makan minum dia, makan apa yang ibu masak. Dia? Alasan kerja syif, tak sempat buat. Balik kerja, letih dan sebagainya. 

Satu lagi alasan yang saya tak boleh terima. Dia budak-budak lagi, kahwin muda di usia 21 tahun, tapi tak reti buat kerja rumah. Sebab itu serba serbi nak kena suruh baru buat. Ibu saya kata, ibu kepada kakak ipar pernah pesan anak dia tak reti dan minta ajarkan dia. 

Bagi saya, tiada istilah budak-budak kalau dah ada rasa nak berkahwin, kan? Saya berkahwin pada usia 22 okey saja, malah kalau tak reti pun tak adalah sampai seluar dalam saya pun mak mertua yang basuh dan lipatkan. Malulah. 

Ibu saya pernah mengamuk sebab dia tak larat sangat-sangat buat kerja rumah yang bertambah-tambah. Dengan sakit, tak larat, dia ingat ada menantu, dia boleh tarik nafas, menantu boleh tolong buat kerja rumah yang mana dia tak larat. Ini tidak, makin teruk pula jadinya. Tahap kesabaran ibu pun dah capai batasannya dan meletup.

Kami adik beradik berbincang dan bagi kata putus, tegurlah si abang ini apa yang patut. Berubah seketika dan kemudian masalah yang sama berlaku lagi sehinggalah kini. Keadaan menjadi semakin teruk apabila dia dah mengandung. Lagilah tak larat nak buat semua kerja. 

Bila saya balik kampung, bila sesi luah perasaan sambil lipat baju, akan terjumpa jugalah pakaian luar dalam mereka suami isteri. Bila saya bersuara suruh ibu jangan buat, dia dah tua sebab takut anak menantu dia pindah dan dia buat saja. 

"Mak buat mana yang mak boleh. Lagipun depa ada, mak tak sunyi. Lagipun dia kerja je, mak buat. Time dia cuti dia buat juga kadang-kadang," kata ibu. 

Saya tak tahulah sama ada ibu cuma nak sedapkan hati saya. Saya pun mati akal apabila ibu kata begitu. Terima sajalah walaupun tak sedap tengok, kan? Saya luah bukan saja-saja. Saya sedar saya tak dapat apa-apa pun, cuma terpanggil untuk berkongsi dan beri sedikit tips bagi yang bakal berkahwin atau yang sudah berkahwin bercadang duduk di rumah mertua. 

Saya tak kata saya sempurna tetapi alhamdulillah bertahun-tahun dah duduk dengan mertua, boleh bertahan, bergelak-gelak di dapur. Okeylah kan?
YANG PEREMPUAN:

1. Kita kalau tak pro buat kerja rumah, jangan malas. Tak pandai dengan malas adalah perkara berbeza. Jangan sampai disuruh baru nak buat. Kalau tak tahu, bertanya. Jangan malu tak kena gaya. 

2. Sayang, sayang, sayang, tiga kali saya ulang. Pentingnya rasa itu kita salurkan pada ibu mertua. Macam mana kita sayang ibu kita, macam itu kita cuba sayang ibu mertua walaupun ibu mertua lebihkan anak dia atau menanti lain, kita sayang juga dia sebab itu untuk melatih diri kita untuk ada rasa ikhlas. Saya tak tahu macam mana nak huraikan tetapi saya selalu ingat ini, saya tak sanggup buat ibu saya seperti itu. Takkan saya sanggup buat begitu pada ibu mertua? Dia ibu kepada suami saya, kot?

3. Hati kena 'sado' kalau nak duduk di rumah mertua. Seperti yang saya sebutkan awal-awal tadi, nak terima orang-orang asing baik buruk mereka tak senang dan tak cepat. Makan masa dan perlu banyak pengorbanan terutamanya ego. Dengan adik beradik sendiri pun kita banya kterasa hati, apatah lagi orang asing, kan?

4. Ingat, duduklah di mana pun, tanggungjawab sebagai isteri jangan dilupakan. Jangan disebabkan duduk rumah mertua, buat sambil lewa. Mentang-mentang guna mesin basuh yang sama, dapur yang sama, bilik air yang sama, semua nak lumpsum saja. Kena cerdik. 

Sediakan bakul asing untuk baju sendiri dengan suami dan anak-anak. Tak nak jadi kuli basuh pakaian orang lain. Basuh baju suami dan anak-anak sendiri sudah. Kalau kerja pun kerja syif, bakul itu letak dalam bilik. Bila-bila ada masa atau bila bakul dah bertimbun, basuh, sidai dan lipat. 

Kalau dah melonggok pakaian dalam bakul tuan rumah (ibu mertua), jangan nak salahkan dia sebab rajin sangat tolong basuh baju anak menantu. Dia dah tua, dia rimas tengok benda-benda bersepah. 

YANG LELAKI:

1. Kalau ye pun nak bawa isteri duduk di rumah ibu sendiri, jangan sesekali lupa sediakan segala kemudahan untuk isteri melaksanakan tugas dia. Jangan ingat bawa duduk rumah ibu, selesai masalah dan tak perlu sediakan apa-apa. Semua barang ada di rumah ibu sendiri dan gunakan saja, begitu? Senangnya hidup. 

Seperti suami saya, dia tak sempurna juga tapi saya puji apa yang betul. Dia dah siap sediakan apa yang saya perlukan sebab dia dah aim bawa saya duduk di rumah ibunya sebelum kami berpindah dan dia akan pastikan dalam bilik dia dah sediakan tempat untuk saya sidai baju kecil, sediakan ampaian yang saya boleh sidai dan tinggalkan baju kalau tak sempat angkat agar tak kena hujan. Malah dia sediakan bakul pakaian untuk kami sendiri. Saya memang hormat dia sebab dia tak lepas tangan. 

Dalam bilik kecil kami ini, semua lengkaplah keperluan saya. Walaupun dia belum mampusediakan rumah lagi, dia dah sediakan satu ruang yang selesa.

2. Jadi suami bukan jadi tuan besar pangkat tauliah sendiri ya. ringan-ringankan tulang untuk membantu isteri. Kalau ye pun isteri kerja, tak salah tolong buat kerja rumah. Jangan lepas tangan begitu saja. Jangan fikir bila ibu ada, semua perkara boleh diselesaikan. Kalau beginilah cara pemikiran seorang suami, jangan pernah bangga ada gelaran suami sebab hakikatnya, 'you are nothing'. 

3. Jangan dayus atau takut pada isteri tak kena gaya. Sebagai suami, anda layak menegur dia kalau tindakannya tidak kena. Tegur dengan hikmah, sambil bergurau-gurau ke, jangan asyik memberikan alasan atau buat-buat tak nampak bila perangai isteri tak kena kononnya nak jaga hati sangat. 

Jangan sebab sayang isteri, takut isteri sampai rela ibu sendiri terasa hati atau menjadi hamba di rumah sendiri. Fikir-fikirkanlah. 

Nak duduk di rumah mertua bukan salah satu jalan mudah. Memang banyak kos yang boleh dijimatkan tetapi perlu beringat, apa yang kita buat pada ibu kita tidak mustahil anak-anak juga akan buat perkara yang sama. Saya sokong pendapat orang agar duduk di rumah sendiri selepas berkahwin, bina rumah tangga sendiri, susah pun tak apa. Tapi kadang-kadang ada keadaan pasangan yang tak boleh duduk asing lagi.

Fikir baik-baik, bertindak baik-baik. Duduk rumah mertua buat cara duduk rumah mertua. Tanggungjawab jangan dilupakan.