AMERIKA SYARIKAT - Pasangan suami isteri di Oregon merakam video anak perempuan mereka yang tiba-tiba tidak dapat berdiri menggunakan kakinya, viral di media sosial, lapor CBS News.
Dalam kapsyen video tersebut, ibunya, Amanda Lewis, menjelaskan bagaimana anak perempuannya, Evelyn, 3, tiba-tiba berkelakuan di luar kebiasaan dan tidak mahu berdiri selepas mandi.
"Evelyn mula berkelakuan lain dari biasa pada malam semalam sebelum waktu tidur. Dia tidak mahu berdiri ketika saya mahu memakaikan pakaian tidurnya selepas mandi. Saya terpaksa tolong dan angkat dia ke katil. Akhirnya saya tertidur bersama dengannya sepanjang malam.
"Pagi keesokan hari, Evelyn mengalami masalah sukar berdiri. Dia tidak dapat berjalan atau merangkak, malah tangannya juga tidak berfungsi. Kami bawa dia ke hospital selepas kami merakam video ini kerana simptomnya semakin teruk," tulisnya.
Pemeriksaan doktor mendapati, terdapat kutu di rambut Evelyn.
"Doktor kata, dalam tempoh 15 tahun yang lalu, dia pernah melihat lebih kurang tujuh atau lapan kanak-kanak sebaya Evelyn yang mempunyai gejala serupa dan percaya mungkin masalah yang sama berlaku pada anak kami.
"Mereka menyikat rambut Evelyn dan menemui kutu bersembunyi di rambutnya," tulis Lewis.
Menurut doktor berkenaan, apa yang berlaku pada Evelyn dikategorikan sebagai lumpuh dan jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.
"Saya lega kami segera bawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kepada ibu bapa di luar sana, jika anak-anak anda berkelakuan lain dari kebiasaan, periksalah rambut mereka. Saya kesal saya tak dapat kesan kehadiran kutu itu lebih awal di rambutnya dan langsung tak terfikir anak jadi begini disebabkan kutu," tulisnya.
Doktor telah berjaya membuang kutu di rambut kanak-kanak itu dan difahamkan keadaan Evelyn kini semakin pulih, meskipun mengambil masa sehingga pagi keesokan hari untuk kembali normal.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, penyakit bawaan kutu itu adalah penyakit yang jarang berlaku, dan pesakit mungkin lumpuh disebabkan oleh toksin yang dikeluarkan oleh kutu. - The Reporter