Persoalan Antara Tanggungjawab Suami Pada Nafkah Dan Zakat, Suami Tolong Ambil Tahu Perbezaan Tanggungjawab Ini...


Soalan: Apakah hukumnya seorang suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri, tetapi setiap tahun membayar zakat. Dia menuduh saya boros sedangkan saya membeli keperluan dengan menggunakan wang sendiri.

Suami juga mengesyaki saya akan membolot segala hartanya dan tidak melayan saya dengan baik kerana prasangka tersebut.

Izyan, Negeri Sembilan.

UKE: Zakat adalah kewajiban suami kepada Allah apabila cukup segala syaratnya manakala nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab suami kepada isterinya.


Allah berfirman:
"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya.” (al-Thalaq:7).
Dalam masalah pemberian nafkah kepada isteri, maka Islam tidak menetapkan dengan jumlah tertentu. Akan tetapi Allah memerintahkan suami agar bersikap kepada isterinya dengan makruf (baik, patut, adil). Nabi SAW sebagai ikutan kita, baginda juga telah menetapkan bahawa nafkah itu mencukupi untuk isteri dan anak.

Ini yang dinamakan adil. Begitu juga suami hendaklah melayani isterinya dengan baik malah menyantuninya dengan penuh kasih sayang dan bukannya untuk disakiti, diaib, atau diseksa jiwa dan raganya.

Allah berfirman:
“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) secara patut." (al-Nisa’:19).
Saya sarankan agar perbelanjaan rumah tangga anda serahkan semula kepada suami anda melainkan jika dia tidak mampu. Itu adalah kewajibannya untuk menanggung keluarga anda.

Bila banyak perkara yang isteri tanggung, maka banyaklah kewajiban suami dilepaskan begitu sahaja. Anda juga boleh menuntut hak anda jika berasakan suami mampu memberinya tetapi dia tidak melaksanakannya.

Bab hendak bolot harta itu, anda kena terangkan dengan elok-elok bahawa tiada keinginan untuk anda membolot hartanya. Jelaskan elok-elok.

Sumber: Utusan


via Bin Usrah