'Jangan Beli Belon Main (Gas), Biarpun Anak Menangis' - Effa


KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki melecur di bahagian tangan kanan akibat terbakar selepas belon mainan berisi gas hidrogen yang dibeli ibunya meletup, semalam.  

Effa Adam berkata, ekoran kejadian itu, anaknya, Rifqi, dimasukkan ke Unit Rawatan Kebakaran Hospital Selayang, 

"Semalam pergi makan di luar. Rifqi nak beli belon itu dan belikan untuk dia. Kemudian dia main di rumah mak saya, terjumpa pula pemetik api yang tiada gas dan dipetik-petik sehingga mengeluarkan percikan api. Tak semena-mena belon berisi gas itu meletup dan api menyambar tangan dan muka," katanya. 

Panik dengan kejadian yang menimpa mangsa, Effa segera membawa anaknya ke hospital untuk mencuci luka atau beri ubat tahan sakit. Tetapi dia dimaklumkan bahawa kes yang menimpa anaknya bukan kes kebakaran biasa. 

Menurut doktor yang memberi penjelasan kepada Effa, jika kebakaran membabitkan gas, haba dari kesan letupan itu boleh menyebabkan kandungan gas dalam belon itu masuk ke tekak dan paru-paru. Kemudian akan menyebabkan organ dalaman membengkak dan tidak boleh bernafas. 

Mangsa dimasukkan ke zon merah untuk pemantauan pihak hospital selama 24 jam. 

"Makan minum Rifqi okay, tangan memang melecur nampak isi. Bulu mata dan kening habis kena sambar. Rambut tak payah cakaplah, cuma tak teruk. Paling teruk di bahagian tangannya," katanya. 

Justeru Effa menasihatkan agar ibu bapa di luar sana tidak membeli belon-belon berperwatakan kartun itu untuk anak-anak kecil kerana bimbang kejadian yang sama berlaku. 

"Kalau jumpa orang jual belon seperti ini, jangan beli. Biarlah anak menangis macam mana sekali pun, jangan beli lagi belon itu. Saya serik dengan kejadian yang menimpa anak saya," katanya. - The Reporter