KUALA LUMPUR - Keputusan membenarkan peserta Gegar Vaganza 3 (GV3) Nora Ariffin, menyanyikan lagunya sendiri, Sandiwara, melalui segmen lagu pilihan media di pentas separuh akhir, Ahad ini menimbulkan persoalan dan pertikaian netizen.
Netizen menyifatkan tindakan itu tidak adil, sedangkan banyak lagi lagu yang lain boleh disampaikan oleh penyanyi berkenaan.
Lapor Berita Harian, kumpulan media juga terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh penganjur GV3 berikutan lagu Sandiwara tiada tersenarai dalam lagu pilihan media, sebaliknya Nora diberi lagu lain.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, tampil mengesahkan bahawa wujud pertukaran lagi dalam kalangan peserta GV3 atas pelbagai alasan.
"Kami sudah memujuk peserta dengan memberi pelbagai penjelasan serta rasional mengapa sesuatu lagu dipilih. Bagaimanapun, artis berkeras enggan menyanyikan lagu pilihan dengan pelbagai alasan seperti tidak sesuai dengan julat vokal mereka," katanya.
Mengulas mengenai tindakan Nora menyanyikan lagu sendiri, Raqim berkata ia bukanlah satu perkara yang baru kerana peserta GV musim lalu pernah melakukannya.
"Kalau tak silap saya, Rahmad pernah menyanyikan lagu sendiri dalam pertandingan GV. Mereka penyanyi profesional. Dalam hal ini, kita sudah beri penjelasan kepada mereka.
"Apabila peserta menolak lagu yang diberi atas pilihan sendiri, kami tidak mahu memaksa. Mungkin lebih baik jika perkara itu ditanyakan sendiri kepada penyanyi berkenaan," katanya.
Terdahulu, Nora juga dilaporkan menolak untuk menyanyikan lagu Rindu, nyanyian Amelina dan menyanyikan lagu Bring Me To Life, nyanyian Evanescene atas alasan telah menyiapkan pakaian untuk lagu tersebut. - The Reporter
Artikel berkaitan: