Trump Akan Pastikan Amerika Tarik Diri Dari TPPA Pada Hari Pertama Di White House


PUTRAJAYA - Presiden pilihan, Donald Trump berkata, Amerika Syarikat akan keluar dari Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di hari pertama beliau bertugas di White House, lapor BBC.

Beliau membuat pengumuman tersebut dalam satu mesej video yang menggariskan beberapa perkara yang beliau akan lakukan dalam 100 hari pertama sebaik saja mengambil alih jawatan itu pada 20 Januari 2017. 

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, masih terlalu awal bincang pilihan TPPA sebelum Trump memutuskan akan meneruskan atau sebaliknya.

"Kita komited mahu TPPA diteruskan. Tetapi sekiranya AS tidak mahu menyertai TPPA, barulah 11 negara berbincang alternatif lain," katanya.

TPPA merupakan inisiatif perjanjian perdagangan bebas (FTA) membabitkan 12 negara APEC iaitu Jepun, Australia, Brunei, Canada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam. - The Reporter