KUALA LUMPUR - Komposer Johan Nawawi, dilaporkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pengguna media sosial yang memfitnah dia dan isterinya, Nora Ariffin.
Lapor Harian Metro, Johan telah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada bahagian siasatan jenayah siber Polis Diraja Malaysia Bukit Aman berhubung perkara itu.
"Buat masa sekarang, saya berdiam diri dulu. Tetapi jika selepas ini masih ada komen-komen yang dilemparkan berbaur fitnah, saya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.
"Saya sudah membuat salinan beberapa akaun netizen serta komen mereka yang memfitnah saya dan keluarga. Bagi saya, perkara itu mengganggu ketenteraman kami sekeluarga," katanya.
Menurut Johan, perkara itu tercetus sejak minggu lalu apabila Nora didakwa menukar lagu daripada genre dangdut kepada rock pada minggu keenam Gegar Vaganza 3 (GV3). Pada minggu ketujuh pula, netizen mula menyatakan rasa tidak puas hati apabila Nora diberikan tugasan menyanyikan lagu sendiri.
"Kalau nak komen atau kritik berkenaan nyanyian tak mengapa. Itu saya okay lagi. Tetapi apabila sampai tahap memfitnah, itu sangat keterlaluan.
"Kenapa perlu menuduh saya membayar pihak Astro agar isteri saya mendapat lagu yang sesuai dengannya? Tiada sebab untuk saya berbuat demikian. Lebih teruk apabila ada yang komen mengatakan isteri saya mempunyai hubungan sulit dengan VIP. Itu semua mengarut," katanya.
Johan berkata, dia tidak akan membiarkan perkara ini berterusan kerana ia menimbulkan persoalan dalam kalangan anak-anaknya yang turut membaca komen itu.
Semalam, Johan memuat naik status di laman Instagramnya berkenaan sikap kurang ajar segelintir netizen yang memfitnah dirinya. Dalam status itu, Johan menyelar tindakan netizen yang seolah-olah tidak sensitif dengan isu seperti itu.