Uqasha Gembira, Followers Instagram Meningkat 2 Juta Selepas Buka Tudung


PUTRAJAYA - Pelakon, Uqasha Senrose, yang memutuskan untuk tidak lagi berhijab, gembira jumlah pengikutnya di laman Instagram semakin bertambah. 

Uqasha atau nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, pengikut di laman Instagramnya meningkat kepada 2 juta orang, berbanding 1.2 juta sebelum ini. 

"Saya gembira sekarang saya menjadi diri sendiri. Saya sekarang buat apa yang saya suka. Pengikut saya di Instagram naik mendadak. Itulah, mereka kutuk-kutuk (saya) tetapi ikut. Sekarang dah sampai dua juta, dulu 1.2 juta saja," katanya seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail ketika malam Anugerah Skin 2016, Jumaat lalu. 

Terdahulu, Uqasha mula menggenakan tudung selepas berpisah dengan Pekin Ibrahim. Bagaimanapun, imej bertudung itu hanya tahan selama 3 tahun sahaja. 

Keputusan Uqasha untuk tidak lagi berhijab, mencetuskan pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang menyerang akaun media sosial pelakon berkenaan secara melampau. 

"Dulu saya tutup ruang komen sekejap sebab tidak tahan dengan mulut haters. Jadi, sekarang saya tak kisahlah orang nak cakap apa. Baik kita sekat mereka daripada kita sakit mental dan sakit hati bila baca. 

"Sekarang sudah kurang yang membenci. Mereka boleh terima. Dah macam biasa balik dah," katanya. - The Reporter