Jangan Tunggu KAYA Untuk Bersedekah. Bersedekahlah Ikut Kemampuan Kita, Semoga Allah SWT Murahkan Rezeki


"ORANG susah pun masih mahu bersedekah, kenapa tidak saya (bersedekah juga)," kata Mohd Khairul Azman Mustaqim, 31, yang dalam menyediakan barangan secara percuma di hadapan kedai sejuk beku miliknya di Kampung Batu Nunggul, Rembau, Negeri Sembilan.

Barang keperluan harian seperti beras, susu, gula, minyak, tepung, sardin dalam tin dan juga lampin pakai buang itu diletakkan di rak secara terbuka untuk kegunaan golongan susah serta yang memerlukan.

Mohd Khairul berkata, idea terbabit tercetus selepas dia menyaksikan individu yang kurang berkemampuan bersedekah beberapa minggu lalu.

Menurutnya, perbuatan murni individiu terbabit berjaya'menjentik' hatinya untuk lebih kerap bersedekah, sekali gus membantu golongan tidak berkemampuan.

"Untuk bersedekah secara konsisten, saya perlu wujud kaedah dan platform yang lebih sistematik supaya setiap golongan dapat menerimanya sumbangan peribadi ini. Di situlah idea untuk menyediakan barangan percuma tercetus.

"Malah ia lebih memudahkan kerana semua barang keperluan diletakkan di hadapan kedai sejuk beku yang saya usahakan sendiri sejak tahun lalu," katanya.

Menurutnya, barangan yang diletakkan di luar kedainya itu tidak terhad kepada hanya fakir miskin, malah sesiapa yang memerlukan bantuan boleh mengambil barang terbabit.

"Susah kalau kita nak tafsirkan individu itu fakir miskin atau tidak. Kadang-kadang orang yang hidup senang pun ada waktu susah mereka, jadi jika mereka betul memerlukan bantuan silalah ambil.

"Alhamdulillah sepanjang dua minggu ini tiada individu yang mengambil barang secara melulu. Kebanyakan mereka cuma mengambil barang yang perlu saja," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Khairul berkata, dia turut merancang untuk menyediakan susu bayi dan kanak-kanak bagi membantu keluarga ataupun ibu tunggal di sekitar Rembau.

"Saya harap apa yang saya lakukan ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk membantu golongan susah. Tidak terniat langsung untuk saya mencari nama ataupun menggunakan isu sedekah ini sebagai teknik pemasaran.

"Jika orang susah boleh bersedekah kenapa kita tidak," katanya.

Sumber: Harian Metro


via Bin Usrah