Tiada yang berani melangkah ke klinik untuk mendapatkan rawatan apabila mengetahui diri mengandung anak luar nikah. Seperti yang dikatakan oleh Doktor Sakinah Sulong, rata-ratanya takut dimarahi jururawat atau doktor. Belum lagi ditambah dengan pandangan negatif masyarakat.
Namun, Doktor Sakinah mengalu-alukan golongan ibu-ibu ini datang ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kerana bimbang dengan keadaan ibu dan bayi yang dikandung. Ingat, membantu bukan bererti merestui.
FAKTA: KEBANYAKAN ANAK-ANAK INI TERBIAR. BILA SUDAH 'BERISI', DISOROK ANAK-ANAK INI DI RUMAH
"Kenapa baru datang, dik?"
Dia diam, tersengih-sengih seakan malu. Saya padang muka dia, wajah mulus remaja.
"Takut misi marah," jawabnya dengan nada yang kecil.
"Laa, ada ke misi marah tadi? Beritahu pada doktor, biar doktor piat-piat telinga."
Dia tersengih makin lebar. Geleng-geleng kepala.
"Mi baik, tak marah pun."
Perbualan seperti ini bukan asing. Ibu-ibu muda ini yang kebanyakannya mengandung sebelum berkahwin, amat gerun nak melangkah kaki ke klinik kesihatan untuk buka 'buku merah'. Alasannya, takut jururawat atau doktor marah.
Tetapi pengalaman saya bekerja di klinik kesihatan, rasanya stigma begitu kami sudah lama buang jauh-jauh. Kami mengalu-alukan ibu-ibu ini untuk datang ke klinik buat pemeriksaan klinikal. Sama ada sudah berkahwin atau tidak, kami tetap terima.
Yang menjadi masalahnya ialah kebanyakan anak-anak ini terbiar. Bila sudah 'berisi', disorok anak-anak ini di rumah. Ada juga ahli keluarga yang sanggup jumpa doktor untuk meminta digugurkan kandungan (cerita benar). Kerap juga berlaku, gadis-gadis muda ini ditumpangkan ke rumah saudara mara agar jiran tetangga kekal tidak tahu.
Kenyataannya, kami di klinik kesihatan memang sentiasa diingatkan bersikap profesional. Walaupun kami perlu meminta ibu yang datang mengemukakan sijil nikah untuk tujuan dokumentasi, namun pesakit tidak pernah dihalau daripada mendapatkan khidmat kami.
Lihat gambar, memang terpampang ruangan untuk diisi nama suami yang sah berserta nombor telefon serta kad pengenalannya sekali. Bukan untuk suka-suka, tetapi supaya lebih mudah dihubungi dan senang untuk proses pendaftaran kelahiran anak. Kalau tiada sijil nikah, ruangan ini akan dibiarkan kosong. Yang lain tetap sama, tiada diskriminasi buku antenatal bertukar warna. Tidak sama sekali.
Bagi ibu-ibu muda seperti ini, kami galakkan datang mendaftar seawal mungkin. Untuk tujuan pemeriksaan kesihatan ibu tersebut dan tujuan pengesahan tarikh jangan bersalin (EDD).
Mungkin ibu tersebut ada masalah perubatan yang boleh membahayakan nyawa seperti penyakit jantung yang tidak pernah didiagnosa, memerlukan pengawasan rapi. Datanglah awal, jangan takut dan kami ingin membantu anda.
Seandainya umur ibu bawah 18 tahun, ada implikasi undang-undang di mana sebarang prosedur perlu dilakukan dengan pengetahuan penjaga seperti ibu bapa. Jadi amat bagus seandainya ibu atau saudara terdekat dapat hadir bersama dalam sesi pemeriksaan ibu-ibu ini.
Memandangkan kes-kes sebegini banyak melibatkan sokongan keluarga yang lemah, ibu-ibu ini akan dirujuk kepada Pegawai Kebajikan. Bukan untuk kepoh-kepoh atau nak merebut anak yang bakal dilahirkan, tetapi untuk menilai serta membantu dalam sokongan moral kepada ibu-ibu ini.
Setiap kali saya jumpa pesakit-pesakit muda ini, saya biasanya akan berbual-bual dengan mereka. Dapatkan kepercayaan mereka, cuba nilai status dan sokongan keluarga. Tanpa sokongan keluarga, memang payah untuk mereka meneruskan kandungan. Lebih-lebih lagi kalau masyarakat hanya tahu menunding jari sahaja.
Tak lupa, saya akan tanyakan apa perancangan mereka di masa hadapan dengan bayi tersebut. Di mana nak menetap selepas ini, di mana nak berpantang, semuanya saya ambil tahu.
Begitulah yang ditekankan pada jururawat-jururawat di klinik saya. Jangan ambil mudah, kerja kita bukan menghakimi tetapi mambantu memberi khidmat yang terbaik untuk memastikan keselamatan ibu dan bayi. Mereka memang komited. Pesakit yang tak appointment, mereka akan cari. Call menggunakan telefon bimbit, buat lawatan rumah. Buat laporan polis sebab missing person pun pernah.
Saya sudah serik dengan kes ibu muda yang mati di rumah kerana tidak pernah datang ke klinik. Memang saya gerun!
Cukup-cukuplah masyarakat yang hanya tahu mencerca tanpa menolong membetulkan keadaan. Yang hanya tahu menjeling tanpa menghulurkan tangan memberi bantuan.
Ditakuti dengan pandangan serong sebegini akan menyebabkan ibu-ibu muda ini bersembunyi tanpa mendapatkan pemeriksaan di klinik.
Membantu bukan bermaksud merestui. Marah bukan bermaksud, membenci. Yang kami utamakan ialah keselamatan ibu dan bayi. Bila dah selamat bersalin, kami pun senang hati.
Sumber: Doktor Sakinah Sulong