'Keluarga mula marah dan benci, saya dituduh hamil anak luar nikah sedangkan tak pernah terlanjur'


Hanya kerana haidnya tidak datang selama dua bulan, dia dituduh memalukan keluarga selepas doktor mengesahkan wanita ini mengandung selama lima minggu. Sedangkan dia tidak pernah terlanjur dengan mana-mana lelaki. Ekoran itu, dia dipaksa berkahwin kontrak dengan sepupunya sendiri. 

Namun, tinggal sebulan lebih lagi wanita ini sudah mula berubah dan jatuh cinta kepada suaminya. 

Assalamualaikum. Saya seorang perempuan yang berumur awal 20-an. Saya baru saja menamatkan pengajian degree. Saya tak tahu nak mulakan cerita ini dari mana. November 2016 adalah detik paling pahit bagi saya di mana saya tidak datang haid selama dua bulan. Selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta, saya disahkan mengandung selama lima minggu. Masa itu saya terkejut sampai nak pitam, sedangkan saya tak pernah terlanjur dengan sesiapa pun. Bahkan saya tiada teman lelaki dan saya sangat menjaga ikhtilat saya.

Keluarga mula marah dan benci pada saya. Saya dianggap sebagai anak yang telah memalukan keluarga. Keluarga saya agak ternama sebab ayah saya ahli perniagaan. Demi menjaga nama baik keluarga, saya telah dipaksa berkahwin dengan sepupu saya. Dan dia bersetuju nak membantu keluarga kami. 

Kami bernikah pada Januari 2017 berserta dengan perjanjian yang menyatakan akami akan bercerai pada September 2017 selepas saya bersalin dan habis pantang. Selepas berkahwin, saya mengikut suami menetap di Kuala Lumpur. Suami bekerja di Dominos Pizza sebagai budak penghantar pizza. 

Pada awal perkahwinan, saya amat tertekan sehingga demam selama dua minggu. Tetapi suami saya sangat prihatin dengan keadaan saya. Dia yang menjaga saya dengan baik, malah semasa saya demam pun, dia juga yang mandikan saya, lap badan saya, masak bubur untuk saya. Saya sangat bersyukur dia seorang lelaki yang sangat menjaga solat. 

Namun ada ketikanya saya malu juga bila sepupu yang agak rapat dari kecil, sekarang dia sudah nampak semua aurat saya ketika dia memandikan saya.

"Jangan fikir bukan-bukan, anggap saja seperti seorang abang sedang menjaga adiknya," kata suami.

Saya selalu menangis dan memberitahu dia yang saya tidak mengandung dan tidak pernah buat perkara keji itu. Dia hanya sekadar mengangguk dan selalu kata bahawa dia percayakan kata-kata saya. Selain itu dia selalu beri saya kata-kata semangat. 

Walaupun sudah berkahwin, kami tidak pernah tidur sekatil. Sebaliknya kami tidur di bilik berasingan. Hanya sekali sahaja kami tidur sekatil dan itupun ketika dia mengurut kepala saya semasa saya demam. Kebetulan pada masa itu dia baru balik dari kerja dan terus terlena di atas katil saya. Tapi kami tidak pernah melakukan hubungan kelamin. Dia juga tidak pernah mengambil kesempatan ke atas saya.

Dua bulan berlalu, kami berdua menjalani kehidupan seperti pasangan yang agak janggal. Yelah, sepupu yang selalu mengusik saya di zaman sekolah kini sudah menjadi suami saya. Dulu dia seorang yang periang, suka menyakat tetapi sejak berkahwin dia jadi agak pendiam. Kami bercakap bila perlu sahaja. Semasa waktu makan pun kami jarang bersembang. 

Saya tidak bekerja, hanya suami saja yang bekerja. Saya pernah ternampak payslipnya, gaji bersih RM1,700+. Kami tinggal di rumah sewa sebulan RM500. Tetapi apa yang membuatkan saya terharu, suami tetap beri nafkah RM500 untuk saya setiap bulan. Baki RM700 itulah yang dia gunakan untuk perbelanjaan dapur, minyak motosikal, bil telefon dan duit kopi sementara menunggu gaji bulan seterusnya. 

Keluarga saya langsung tidak mengambil peduli tentang saya. Hanya kakak saya saja yang selalu melawat saya di rumah. 

Bulan April yang lalu, satu perkara telah berlaku. Saya tidak tahu sama ada saya nak gembira ataupun sedih. Satu pagi itu, perut saya terasa sakit sangat dan ada darah mengalir dari alat sulit saya dengna kuantiti yang agak banyak. Saya ingatkan perioud. Masa itu sakit bercampur gembira, saya fikir saya tidak mengandung. Saya ajak suami pergi buat medical checkup sekali lagi dan kali ini di hospital kerajaan. 

Rupa-rupanya ada ketumbuhan di rahim saya. Doktor kata mungkin itulah punca kitaran haid saya terbantut pada hujung tahun lepas. Doktor suruh saya menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu. Suami pun bersetuju dan segala kos pembedahan ditanggung oleh suami dengan menggunakan duit simpanan yang disimpannya semasa bujang. 

Selepas pembedahan, suami mengambil cuti selama dua minggu untuk menjaga saya dalam pantang. Ini yang membuatkan saya mula jatuh cinta dengan sikap prihatin dan penyayang dia terhadap saya. Tetapi saya tak luahkan perasaan saya kerana bimbang mendapat malu kalau saya bertepuk sebelah tangan. 

Setelah pulihdari pembedahan, keluarga saya datang berjumpa dengan suami. Ayah saya meminta agar kami bercerai lebih awal. Saya disuruh menyambung sijil master. Saya geram dengan tindakan ayah yang mementingkan diri. Tetapi suami saya seakan menurut saja permintaan bapa saudaranya itu. 

Bulan Ramadhan yang lalu, suami pergi ke pejabat agama untuk urusan dokumen penceraian. Saya sedih, sebab saya sudah terlanjur sayangkan suami saya. Hari raya baru-baru ini saya ada bertanya pada dia. 

"Abang betul ke nak bercerai dengan saya?"

Dia hanya ketawa. "Betullah, kan hari itu perjanjiannya begitu."

Walaupun dia ketawa tetapi saya tahu yang dia juga sedih nak bercerai dengan saya. Mungkin ego lelaki yang membuatkan dia sukar nak cakap bahawa dia juga sayangkan saya atau mungkin dia tidak mahu bergaduh dengan ayah saya. 

Selepas mendengar suami berkata demikian, saya batalkan hasrat nak meluahkan perasaan saya pada dia. Hujung bulan ini kami akan pergi ke mahkamah untuk lafaz talak. Saya sedih sangat dan tidak mahu bercerai dengan dia. Saya sayangkan suami saya dan rasanya saya takkan jumpa lagi lelaki yang baik seperti sepupu saya ini. 

Semasa tiada orang yang percaya pada saya, dialah yang selalu membimbing dan percaya dengan apa yang saya kata dulu. Apa yang patut saya buat untuk menyelamatkan perkahwinan saya ini? Perlu ke saya beritahu cepat-cepat perasaan saya pada dia? Doakan yang terbaik untuk saya dan suami.

19 Julai 2017

Assalamualaikum. Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang memberi komen-komen yang membina kepada saya. Ada juga terbaca komen yang mengatakan saya menipu, bajet-bajet diri seperti Maryam, Nabi Isa. Saya tak pernah pun kata saya semulia ibu nabi. Dan ada juga yang kata saya mereka cerita. Tetapi jujur saya katakan yang saya tidak ambil hati dengan komen seperti itu. Apa yang boleh saya buat? Saya doakan anda dan ahli keluarga tidak terkena penyakit seperti yang saya alami. 

Saya rasa serba salah kerana disebabkan luahan saya, ramai netizen yang bertengkar. Ada yang kata suami saya lurus dan berpendidikan rendah. Sebenarnya suami saya habis belajar dulu. Dia dua tahun tua dari saya. Dia ada ijazah dalam kaunseling. Keputusan Muet dia lebih tinggi dari saya. Cuma dia suka buat kerja yang tak duduk di pejabat dan sebab itulah dia bekerja di Dominos. 

Semasa saya taip luahan ini semalam, saya masih duduk di rumah ibu bapa sejak dari hari raya lagi. Jadi, sudah lebih kurang 3 minggu saya tidak tinggal bersama suami. Selepas habis cuti raya, dia pulang ke Kuala Lumpur dan terus masuk kerja. 

Sebenarnya selepas ramai yang menyuruh saya meluahkan perasaan pada sepupu saya itu, saya tak ikut pun. Saya rasa biarlah apa yang nak jadi pun, jadilah. Tetapi tak sangka malam tadi dapat mesej dari dia di WhatsApp. 

"Apa perasaan dapat banyak likes? Seronok ke buat macam itu?"

Saya tiba-tiba risau kalau dia terbaca post itu. Saya tukar topik dan tanya dia sudah makan atau belum. 

"Kemas kain baju, esok pagi saya datang ambil. Duduk rumah orang lama-lama dah macam tak ada rumah sendiri pula," mesej suami. 

Saya jadi geram pula bila dia mesej begitu. Saya kemas semua pakaian. Sebelum nak tidur, saya asyik terkenangkan kalau esok pagi dia datang dan marah-marah saya tentang post itu. Walaupun dia bukan jenis baran tetapi saya pernah tengok dia memukul adiknya kerana merokok di asrama. Itupun peristiwa lima tahun yang lalu. 

Pagi tadi dia sampai, naik kereta Saganya. Terkejut juga sebab kebiasaannya dia tidak pernah bawa kereta kalau perjalanan jarak jauh. Balik kampung hari itu pun kami naik bas sahaja.

Selepas bersalam-salam dengan keluarga, kami terus balik. Dia pun tak nak stay lama-lama di rumah ayah saya. Sepanjang perjalanan, dia hanya diam tak berkata-kata. Saya pun tak berani nak tegur macam-macam. Ini pertama kali saya tengok dia begitu serius dari kebiasaannya yang blur dan cool sahaja. 

Tiba di rumah, saya tanya kenapa dia ambil cuti hari ini sedangkan saya boleh naik bas balik ke Kuala Lumpur. Dia diam juga. Dari petang bawa ke isyak, dia masih senyap. Saya pun tak berani nak tanya banyak kali. 

Baru saja nak melelapkan mata, dia mesej saya di WhatsApp seperti gambar di bawah ini. Saya rasa malam ini, sayalah insan yang paling bahagia sekali di atas muka bumi. 






Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kami. Semoga Allah saja yang dapat membalas semua jasa baik anda semua. Harap-harap dia tak baca post saya yang ini. Kalau tidak, mesti dia marah lagi. Sekarang dada dah rasa lapang.