
Mesti korang pelik kan kenapa Nabil masih lagi bersikap macam tu walaupun orang dah tegur banyak kali. Ni lah penjelasan sebenar dari Astro sendiri.
#SHAH ALAM: Pihak pengurusan Astro tidak mahu terlalu menyekat setiap kata-kata yang dibuat oleh pelawak dan pengacara Nabil Ahmad pada program Gegar Vaganza 2 kerana ia akan menyekat kreativitinya.
#Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan cara pengendalian Nabil dalam program itu walaupun masih ramai penonton yang tidak berpuas hati dengan cara pengacaraannya.
#“Pihak kami berpuas hati dengan Nabil dan apa yang saya lihat, Nabil sudah banyak mengurangkan gurauannya di atas pentas.
#“Jika pihak kami terlalu ketat dalam meletakkan syarat-syarat cara pengacaraan, ia akan menyekat dan ‘membunuh’ kreativiti Nabil mengendalikan program berkenaan,” katanya kepada mStar Online.
#Raqim yang ditemui pada konsert Gegar Vaganza 2 minggu kelima pada malam Ahad diminta mengulas mengenai komen orang ramai yang masih tidak senang dengan cara pengendalian Nabil dalam program itu yang dianggap seperti bergurau tidak kena tempat.
#Nabil turut mendapat kritikan apabila dia dilihat suka mencelah ketika juri sedang memberi komen kepada peserta dan perkara itu dianggap sebagai kurang sopan.
#Bagaimanapun Raqim menjelaskan, menjadi tanggungjawab pengacara untuk meneutralkan keadaan lebih-lebih lagi ketika juri memberi kritikan pedas.
#“Pengacara perlu menjadi neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak baik pada peserta mahupun juri.
#“Jika ada yang berasa Nabil sengaja mahu mencelah, mereka silap. Nabil termasuklah pengacara gandingannya iaitu Jihan Muse sekadar mahu meredakan keadaan,” ujarnya.
#Gegar Vaganza 2 disiarkan secara langsung pada setiap Ahad pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Sumber: duapuluhsen20