Fatwa : Forex Haram Bagi Umat Islam


Matawang adalah ‘medium of exchange’ sahaja dan ia bukanlah komoditi yang wajar diniagakan bagi memperolehi untung dari perbezaan nilainya. Nilai matwang kini tidak lagi bersandarkan emas atau perak, wang kertas hari ini (fiat money) tidak mempunyai nilai tersendiri (seperti logam emas dan perak) kecuali nilainya datang dari pasaran global yang ditentukan oleh ‘demand and supply’ di pasaran dunia. Maka menjadikan cara ini punca rezeki bagi memberi makan anak – isteri bukanlah satu bentuk kerjaya yang terpuji di dalam Islam. Malah ia sebenarnya membantu sistem kapitalis dan menguatkan sistem ekonomi yang mereka anjurkan.
.
Perniagaan Pertukaran Asing (FOREX) Haram
KOTA BAHARU – Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan umat Islam haram mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing.
Pengerusi Jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ini kerana perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing seperti itu tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.
“Hasil kajian Jawatankuasa ini, kita dapati perniagaan yang melibatkan pertukaran wang asing melibatkan spekulasi mata wang dan ini bercanggah dan berlawanan dengan hukum Islam.”
“Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa umat Islam diharamkan daripada mengamalkan sistem perniagaan cara demikian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 di sini hari ini.
Abdul Shukor berkata banyak isu yang meragukan mengenai perniagaan pertukaran asing, oleh itu umat Islam tidak perlu menceburkan diri, tambahan pula kegiatan itu melibatkan penggunaan internet di kalangan individu, yang menyebabkan untung rugi tidak menentu.
“Lain-lain jenis perniagaan pertukaran wang asing, seperti melalui pengurup wang atau dari bank ke bank dibenarkan, kerana ia tidak menimbulkan spekulasi mata wang atau untung rugi yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata keputusan lain yang turut dicapai dalam mesyuarat itu ialah mengharuskan umat Islam membuat pelaburan atau membuat simpanan melalui Skim Sijil Simpanan Premium (SSPM) yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Katanya keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya melalui taklimat yang disampaikan oleh pihak penal syariah Bank Negara pada muzakarah itu.
“Pada mulanya, kita meragui tentang kaedah pelaksaaan skim itu tetapi kita berpuas hati setelah sistem perniagaan melalui SSPN itu ditukar konsep Islam iaitu Mudharabah.” – BERNAMA
Sumber FATWA FOREX HARAM! Perniagaan Pertukaran Asing (FOREX) Haram
.
.
.
Berikut Soalan Dan Jawapan Panjang lebar Ustaz Zahruddin Mengenai Urus Niaga Forex 
.
Soalan
Saya ingin minta pihak ustaz untuk menerangkan tentang pelaburan tukaran matawang asing dan juga perniagaan Forex. Bagaimana pula jika saya melakukan transaksi sendiri dengan berbekalkan analisa sendiri atau yang disediakan oleh broker dengan melayari internet. Kemudian memperolehi untung dari jualan dan belian matawang asing ini. Terima kasih.
.
Jawapan
Bagi menjawab soalan ini, anda perlu memahami dua jenis perkara iaitu :-
1- Melabur wang ringgit anda ke dalam satu syarikat yang memperolehi untung melalui FOREX.
2- Melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual beli wang asing dan simpan. Semua transaksi dijalankan oleh anda sendiri, syarikat hanya menyediakan platform dan mengambil upah perkhidmatan sahaja.
.
Pertama : Hukum bagi melabur dalam syarikat yang menjalankan FOREX :
Forex (Foreign Exchange) atau yang lebih dikenal dengan Perdagangan Mata wang Asing; Ia merupakan suatu jenis perdagangan/transaksi yang memperdagangkan matawang suatu negara terhadap matawang negara lainnya yang melibatkan pasar-pasar matawang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.
Benar, memang FOREX matawang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadith Nabi yang sohih. Iaitu :-
a- Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai “yadan bi yadin”. Dalam bahasa Inggerisnya adalah “on the spot basis”. Ia datang banyak hadis antara yang paling utama adalah :’
الذهب بالذهب , والفضة بالفضة , والبر بالبر , والشعير بالشعير , والتمر بالتمر , والملح بالملح , مثلاً بمثل , سواء بسواء , يداً بيد , فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم
Ertinya : Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan) , perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai” ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .
b- Nabi bersabda :-
فإن رَسُولَ اللَّهِ قال الْوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِبًا إلا هَاءَ وَهَاءَ
Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berkata : Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa)” (Riwayat Muslim, no 1586, 3/1209)
c- Manakala pembelian secara hutang dari salah satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis :-
نهى رسول اللَّهِ عن بَيْعِ الذَّهَبِ بِالْوَرِقِ دَيْنًا
Ertinya : “Rasulullah s.a.w melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang”( Riwayat Al-Bukhari, no 2070, 2/762)
Hadis-hadis di atas menyebut perihal displin Islam dalam pertukaran emas dan perak. Untuk informasi, ulama bersepakat bahawa matawang (bank note) juga adalah sama displinnya dengan emas dan perak disebabkankan nilai dan fungsinya sebagai ‘medium of exchange’. Justeru setiap displin dan syarat transaksi yang melibatkan emas dan perak juga TERPAKAI pada urusan transaksi matwang. Demikian keputusan Majlis Fiqh Antrabangsa dan juga Majlis Kewangan Islam Antarabangsa di bawah AAOIFI.
FOREX dalam matawang yang diuruskan oleh syarikat konvensional sudah pasti tidak akan menjaga syarat ini kerana kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi Konvensional adalah ‘Forward FOREX’ atau Forex yang menggunakan ‘Value forward’ (nilai masa hadapan) yang tergolong dalam Riba Nasiah. Mereka juga kerap menggunakan SWAP, Options dan lain-lain instrument yang tidak halal di sisi Shariah.
Instrumen-instrumen tadi tidak memenuhi syarat Islam iaitu serah terima atau disebut “qabadh” dalam Islam secara benar “hakiki” atau “hukmi” pada waktu yang sama. Masalah dalam implementasi FOREX adalah bertangguh dalam penyerahan dari kedua-dua pihak. Tatkala itu aqad menjadi batal (Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).
Tidak saya nafikan, bahawa terdapat sesetengah Institusi Kewangan Islam yang melakukan forex ini setelah mendapatkan kelulusan Majlis Penasihat Shariah mereka, Namun semua mereka hanya terlibat dalam FOREX jenis SPOT dan bukannya jenis ‘Forward’ ; jika adapun jenis forward ia menggunakan konsep Al-WA’D atau ‘Unilateral Promise’ dan ia telah disepakati keharusannya. Apa yang pasti, Majlis Shariah mereka telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja.
Justeru MELABUR MODAL ( BEERTI ANDA MELABUR DAN KEMUDIAN TUNGGU UNTUNG SAHAJA) dan di dalam institusi kewangan konvensional yang memperolehi untung melalui cara FOREX adalah tidak halal di sisi Islam.
Ia adalah keputusan Panel Penasihat Shariah dunia yang bernaung di bawah nama Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI). Antara panel penasihat Shariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Prof. Dr. Syeikh Wahbah Zuhayli, Prof. Dr. Syeikh Siddiq Dharir, Syeikh Abdullah al-Mani’, Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, Syeikh Dr. Nazih Hammad, Syeikh Dr. Hussain Hamid Hassan, Syeikh Nizam Ya’quby, Dr. Mohd Daud Bakar, Syeikh Al-Ayashi al-Sadiq Faddad, Syeikh Dr. Ajil Nashmi dan ramai lagi.
.
.
KEDUA : Hukum FOREX TRADING yang dijalankan sendiri-
Bagi mengetahui hukum bagi bentuk kedua ini, pertama-tamanya ia tertakluk kepada :-
a- Kesohihan dan kewibawaan syarikat platform dari sudut lesennya dan pengenalannya. Ia diperlukan bagi mengelak anda ditipu oleh platform syarikat yang tidak sebenar. Butiran terperinci berkenaan platform ini mestilah diteliti dan boleh diperolehi. Jika tidak, transaksi anda adalah syubhat dari awal lagi keran terdapat unsur gharar.
b- Jika platform tersebut punyai wibawa dan lessen serta info yang sangat mencukupi, perkara kedua adalah menilai akta-akata berkaiatan dengan aktiviti ini dari badan berwajib di Malaysia. Ini perlu bagi memastikan anda tidak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang Negara.
Jika yang kedua juga lulus, saya kira transaksi jual matawang asing dan simpan dan kemudian jual semula apabila harga tukarannya naik adalah harus kerana ia secara automatiknya dilaksanakan menurut kaedah ‘spot’. Namun mari kita sama-sama cuba mehami dan menyemak bagaimana proses ini dilakukan secara ringkas dan melihat pandangan Islam tentangnya.
Setakat apa yang diterangkan oleh individu yang terlibat dan yang tahu berkenaan cara forex trading memlali internet ini. Ia seperti berikut :-
1) Ia mempunyai minimum modal. Sebagai contoh USD 1, USD 100 dan lain-lain, ia berbeza mengikut polisi syarikat forex trading masing-masing.
2) Dengan modal itu, pihak syarikat platform forex trading ini akan membukakan satu akaun khas buat peserta.
Setelah itu, pihak peserta akan menentukan samada untuk membuka kaunter jualan matawangnya di dalam akaun atau membuka kaunter belian.
.
Gambaran mudahnya adalah :-
Katalah modalnya USD 100 yang dibeli dengan tukaran semasa hari tersebut USD 1 = RM 3.6, dan dibuka kaunter ‘selling’ melalui platform syarikat tersebut.
Sebagai contoh, pada esok harinya apabila dilakukan analisa terhadap pegerakan nilai matawang, didapati nilai USD mengukuh berbanding Ringgit iaitu USD 1 = RM 4
Tatkala itu, ia akan menekan button jual USD 100 dan memperolehi RM 400. Ini bermakna ia telah beroleh keuntungan sebanyak RM 40 berbanding harga belian asalnya tadi.
Pihak syarikat FOREX ini MESTILAH memasukkan seluruh RM 400 itu sebaik sahaja transaksi jual beli dilakukan, TIDAK DIBENARKAN DILEWATKAN ATAU DIMASUKKAN SEBAHAGIAN SAHAJA, jika dalam contoh di atas, hanya RM 40 dimasukkan, manakala baki modal sebanyak RM 360 hanya akan dimasukkan sejurus peserta menutup akaun pada hari tersebut.
Isu Shariah : Jika ini tidak berlaku, maka ia lulus dari sudut Shariah, namun jika kelewatan berlaku, isu Shariah di sini adalah berlaku penangguhan dalam penyerahan matawang ringgit. Ini menjadikan ia bercangah dengan arahan Nabi s.a.w :-
Dalam menukar wang dengan wang, Nabi telah menyebut garis panduan yang mesti dipatuhi iaitu:
فإن رَسُولَ اللَّهِ قال الْوَرِقُ بِالذَّهَبِ رِبًا إلا هَاءَ وَهَاءَ
Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berkata : Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa)” (Riwayat Muslim, no 1586, 3/1209)
Manakala pembelian secara hutang dari salah satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis :-
نهى رسول اللَّهِ عن بَيْعِ الذَّهَبِ بِالْوَرِقِ دَيْنًا
Ertinya : “Rasulullah s.a.w melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang”( Riwayat Al-Bukhari, no 2070, 2/762)
Imam An-Nawawi telah menyebut dengan terang bahawa para ulama telah bersepakat wajibnya syarat serah terima dalam satu masa atau ‘Taqabud’ samada secara hakiki (fizikal) atau hukmi (melalui mediuam internet tetapi punyai bukti seperti resit atau nota elektronik yang menunjukkan transaski sah) ( Syarah Sohih Muslim)
Cadangan : Mesti dipastikan bahawa semasa transkasi jual beli dilakukan, kesemua modal dicampur untung dimasukkan di dalam akaun kita tanpa sebarang tangguh, dan secara automatik juga kita boleh mengeluarkan wang tersebut tanpa sebarang halangan.
3) Terdapat syarikat yang mensyaratkan minimum modal yang tinggi seperti USD 1000 dan lain-lain jumlah. Untuk itu mereka menawarkan apa yang dinamakan ‘leverage’ yangmana modal peserta akan digandakan.
Sebagai contoh, katalah modal sebenar anda adalah USD 100. Maka anda dikehendaki memilih atau secara pilihan memlih gandaan yang dikehendaki. Seperti 1 : 10 beerti modal anda akan digandakan kepada 10 kali menjadi USD 1000 atau jika memilih 1:100, beerti modal anda menjadi USD 10000. Dengan jumlah baru inilah matawang anda akan di pasarkan di pasaran.
.
Hukum Leverage :
Takrif Leverage :
The use of various financial instruments or borrowed capital, such as margin, to increase the potential return of an investment.
Leverage can be created through options, futures, margin and other financial instruments. For example, say you have $1,000 to invest. This amount could be invested in 10 shares of Microsoft stock, but to increase leverage, you could invest the $1,000 in five options contracts. You would then control 500 shares instead of just 10. (Rujukan)
Jika benarlah apa yang saya gambarkan ini, transaksi forex menggunakan Leverage ini adalah HARAM kerana ia dikira menjual matawang yang tidak di dalam milik anda. Milik sebenar anda hanyalah USD 100 tetapi yang dijual adalah 10,000. Ia berdasarkan apa yang disebut oleh Nabi s.a.w :
لَا تَبِعْ ما ليس عِنْدَكَ
Ertinya : Janganlah kamu menjual sesuatu yang tidak di dalam milikmu” ( Riwayat Abu Daud, no 3504, 3/283)
Malah saya juga hampir pasti, wang yang digandakan oleh syarikat itu dikira sebagai pemberian pinjaman dan sudah tentu mereka akan mengambil sedikit keuntungan samada diketahui atau tidak diketahui oleh peserta. Jika ini berlaku, sekali lagi riba telah berlaku.
Bagi mengelakkan perkara yang ditegah oleh Islam dari berlaku di sini, penggunaan leverage 1:1 sahaja yang dibenarkan. Wallahu’alam.
4) Diberitakan juga pihak syarikat menasihatkan peserta agar menggunakan modalnya kurang dari 30 % bagi mengurangkan risiko semasa trading dijalankan.
Dan jika terdapat masalah kemungkinan rugi atau apa yang dinamakan ‘margin call’, pihak peserta dibenarkan untuk membuka kaunter satu lagi samada jual atau beli bagi menyeimbangkan kemungkinan rugi.
Pandangan : Wallahu’alam, jika semunya dilaksanakan dengan jelas dan perancangan yang betul. Setakat ini saya tidak nampak adanya masalah Shariah dalam tindakan ini, kerana apa yag dilakukan adalah membuka kaunter baru, kalau sebelum ini ia membuka kaunter jual sahaja, maka apabila di posisi jual didapati boleh membawa kerugian, ia dengan segera mebuka kaunter beli, bagi memperolehi keuntungan pula. Semuanya adalah harus jika dilaksanakan menurut syarat di atas tadi, tiada leverage, tiada tangguh, dan wang yang telah diperolehi boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


via Bin Usrah