Telinga BERDESING. Doktor Pakar Dedah PUNCA UTAMA Yang Buat Ramai TAKUT !!!

Telinga BERDESING. Doktor Pakar Dedah PUNCA UTAMA Yang Buat Ramai TAKUT !!! | Tinnitus adalah satu keadaan di mana seseorang itu merasai telinga mereka berdesing. Jenis bunyi desingan berbeza bagi setiap individu. Biasanya desingan tersebut bagaikan bunyi loceng atau lebah yang sedang terbang. 

Tetapi ada yang menyatakan bahawa desingan yang mereka alami menyerupai bunyi desiran- seumpama bunyi air terjun mengalir. Ada yang menyamai desingan seakan bunyi udara bergerak di dalam botol yang kosong. Terdapat pelbagai jenis desingan lagi yang dialami oleh pesakit dan kebiasaannya, desingan bunyi tersebut mempunyai satu nada dan satu pic yang tertentu.
Definasi tinnitus adalah pengalaman di mana seseorang itu dalam keadaan sedar kewujudan bunyi di dalam kepala subjek tanpa kehadiran sebarang bunyi di persekitarannya pada waktu yang sama Dengan erti kata lain- hanya subjek sendiri sahaja yang boleh mendengar tinnitus. peratusan besar kes tinnitus adalah merangkumi symptom ini dan ia, juga dikenali sebagai tinnitus subjektif.
Jarang kali, terdapat tinnitus yang dapat didengari oleh orang lain. Ini kemungkinan berlaku dalam kes ketumbuhan salur darah di bahagian leher yang besar di mana terdapat gangguan dalam aliran darah. Pada kebiasaannya bunyi ini boleh didengar dengan bantuan stetoskop yang diletakkan pada kawasan ketumbuhan tersebut dan bukannya pada jarak biasa pertuturan kita. Tinnitus sebegini yang boleh didengari oleh orang lain juga dikenali sebagai tinnitus objektif.

Dalam bidang ENT (telinga,hidung dan tekak), perlu diingatkan bahawa bunyi tinnitus adalah biasanya dalam satu nada yang sekata. Sekiranya bunyi adalah dalam bentuk pertuturan- iaitu sama ada bunyi orang bercakap kepada subjek, atau pebualan antara orang didengari tanpa orang di sekeliling, subjek tersebut bukan mengalami tinnitus. Ini adalah lebih kepada penyakit psikiatrik yang perlu dirujuk kepada pakar psikiatrik Walaubagaimanapun, dalam pengalaman saya, ada juga yang akan berjumpa bomoh atau ustaz yang berkelayakan untuk menanggani situasi ini.
Antara sebab terjadinya tinnitus yang biasa:
1. Terdedah kepada bunyi bising- sama ada untuk waktu sangat sekejap (letupan, tembakan senjata api), sementara (menghadiri konsert, bilik yang bisisng) atau jangkamasa yang lama dan berulang (bekerja menggunakan alatan jentera seperti bertukang, membina jalanraya dan sebagainya)
2. Usia yang lanjut. Semakin tua seseorang itu, semakin banyak kerosakan pada sel sel pendengaran. Semakin banyak kerosakan, maka tinnitus akan menjadi semakin teruk.
3. Sumbatan tahi telinga (impacted ear wax)
4. Kecederaan kepala dan telinga, biasanya dari kemalangan jalan raya dan industri.
5. Darah tinggi dan arteriosklerosis
6. Ubat- pelbagai jenis ubat boleh meyebabkan tinnitus. Anda perlu merujuk kepada doktor atau informasi produk yang disertakan bersama bungkusan ubat.
6. Ketumbuhan di bahagian otak terutamanya saraf pendengaran atau ketumbuhan di hidung.
7. Jangkitan telinga- sama ada telinga dalam, tengah atau luar
Ada beberapa lagi punca tinnitus, tetapi ia jarang berlaku dan tidak tersenarai di sini.
Sekiranya anda menghadapi tinnitus, anda disarankan berjumpa doktor. Sekiranya perlu, anda akan dirujuk kepada pakar ENT. Perlu diingati bahawa tinnitus adalah satu gejala (simptom) dan bukan diagnosis. Tugas doctor ENT ialah mendapatkan informasi secukupnya dari pesakit, melakukan pemeriksaan telinga, hidung dan leher. Seterusnya, ujian pendengaran akan dilakukan untuk memgetahui tahap pendengaran.
Sekiranya ada punca penyakit yang boleh dirawat- seperti jangkitan telinga, darah tinggi, ubat tertentu; maka rawatan adalah ditujuhalakan ke arah punca tinnitus. Sekiranya ada kurang tahap pendengaran yang dikesan semasa ujian pendengaran tanpa sebab tertentu- pesakit akan diberi tempoh percubaan menggunakan alat pendengaran (hearing aid). Apabila pesakit boleh mendengar lebih baik dengan alat pendengaran, intensiti tinnitus akan berkurangan.
Segelitir pesakit malangnya, tidak dapat dirawat dengan kaedah ini. Terdapat alat pendengaran yang menggunakan tinnitus masker. Alat ini akan menjanakan bunyi sebagai bunyi asing yang boleh mengalih perhatian pesakit dari bunyi tinnitus. Walaubagaimanapun, bukan semua pesakit boleh sembuh dengan kaedah ini.
Kebanyakan pesakit di klinik saya kebiasaannya mengalami tinnitus, tetapi tidak sebegitu serius. Mereka cuma mengadu bunyi tersebut agak nyaring semasa keaadaan yang senyap, terutamanya ketika ingin tidur di waktu malam. Saya menyarankan agar mereka menggunakan radio atau muzik yang bernada rendah atau jam yang mempunyai detik yang berbunyi semasa tidur. Dengan ini, mereka akan fokus kepada bunyi selain dari tinnitus.
Pesakit juga akan diberi percubaan pengunaan ubat betahistine, iaitu antagonis reseptor histamine 3 yang bertindak sebagai agen dilatasi salur darah ke alat pendengaran. Mereka juga diberi ubat komponen vitamin B12, methylcobalamine yang berfungsi untuk penambahbaikan fungsi saraf. Walaubagaimanapun, kebanyakan dari mereka masih tetap mengalami tinnitus dengan ubat yang diberi. Saya membenarkan pesakit saya menjalankan rawatan alternatif yang diikitiraf sekiranya mereka ingin mencuba kaedah lain. Antara yang disarankankan adalah akupuntur.
Pesakit yang mengalami tinnitus boleh mengalami kesan psikologikal yang agak mendalam sekiranya tidak dirawat. Mereka akan kurang bergaul, tidak mahu berinteraksi kerana sukar mendengar dan ada yang mengalami psikosis sekiranya teruk. Jika anda ingin merasai tinnitus, anda boleh menutup salur telinga luar anda dengan satu jari sehingga mendengar bunyi desingan. Itulah tinnitus yang mereka alami. Saya berpendapat, kebanyakan dari kita tidak boleh menutup telinga lebih dari 5 minit. Inilah yang pesakit tinnitus alami sepanjang masa.
Sekiranya anda mengalami tinnitus, segeralah berjumpa dengan doktor anda dan sebaiknya pakar ENT untuk pemeriksaan yang lebih lanjut kerana tinnitus adalah satu gejala yang akan memberi petunjuk kepada penyakit yang sebenarnya yang tidak diketahui. KREDIT DR AHMAD NORDIN via MalaysianGazzette.
Rujukan
Tinnitus Theory and Management Snow, 2004 BD Decker Inc
Hearing Matters: Debilitating Tinnitus: A Problem, and Solution, in Neuroplasticity,Colucci, Dennis A. AuD, Hearing Journal August 2013 Vol 66 Issue 8 p32
Alternative Therapies: Building Better Treatments for Hearing Loss By Karen Pallarito,The Hearing Journal Nov 2012 Vol 65 No 11


via Bin Usrah