JOHOR BAHRU - Seorang wanita terkejut apabila beberapa ubat-ubatan yang dibeli dari sebuah farmasi dikenakan harga RM104 selepas diskaun.
Pada 20 Disember lalu, Zilla pergi ke farmasi tersebut untuk membeli ubat bagi merawat sakit tekaknya yang agak teruk dan krim merawat bibir anaknya yang pecah serta beberapa ubatan yang lain.
"Bila masuk farmasi ini macam kena pukau. Bila ditanya Dequadin, kakitangannya kata tak ada tetapi ada ubat yang lebih bagus. Saya pun bersetuju.
Ubat-ubat yang dibeli dari farmasi tersebut | Foto - Zilla |
"Selain itu saya juga mahu membeli vaselin untuk rawat bibir anak yang terkoyak di tepi mulut. Dia pula menawarkan ubat yang lebih bagus dan saya pun okey saja. Kemudian ditanya sama ada saya nak ubat demam atau tidak, saya okeykan saja.
"Apabila mahu membuat pembayaran, kakitangan itu sarankan saya menjadi ahli dan akan mendapat diskaun sebanyak 40%. Saya pun okey dan memberi kad pengenalan seperti yang dipinta.
"Selesai semua itu, harga yang dikenakan adlah RM104 selepas diskaun. Saya terkejut sampai bertanya dua kali dan hairan mengapa harga ubatnya begitu mahal seperti mendapatkan rawatan dari pakar pula jadinya," katanya.
Bagaimanapun, Zilla pergi berjumpa dengan doktor di klinik dan menunjukkan ubat yang dibeli. Doktor memaklumkan bahawa Zilla telah ditipu. Kos bagi kesemua ubatan yang dibeli oleh Zilla itu sebenarnya pada harga RM55 sahaja.
Ekoran kejadian itu, Zilla membuat aduan berhubung tindakan tidak bertanggungjawab farmasi tersebut pada Jabatan Kesihatan Negeri.
Berdasarkan maklumbalas yang diterima pada 2 Disember 2016, pihak Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKN Johor telah menjalankan pemeriksaan ke atas farmasi tersebut pada 13 Disember.
"Hasil pemeriksaan, satu perkara ubat racun telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Perundangan Farmasi," kata surat dari JKN Johor.
Sementara itu, Abdul Malik Ayob juga pernah menjadi mangsa farmasi tersebut.
"Beli ubat batuk sebotol RM100+, beli ubat gatal, dia bagi yang dia isi sendiri dalam bekas putih kecil itu. Rasanya tak sampai 5 gram pun. RM27.50. Selepas itu, memang kami pun boikot tempat ini," katanya.
Justeru, Zilla meminta orang ramai berhati-hati dan tidak pergi ke farmasi berkenaan agar tidak menjadi mangsa yang seterusnya. - The Reporter