Lelaki Cina Malaysia ini pura-pura solat bersama mujahidin di Syria kerana takut DIBUNUH, apa yang berlaku selepas itu memang mengejutkan !!




MINGGU lepas saya berpeluang menemu ramah Chris Lau, rakyat Malaysia yang pernah pergi ke Syria dan berada di sana 3 kali sebagai wartawan bebas. Dia sekarang ini baru berusia 24 tahun, pernah mengembara selama 7 bulan ke beberapa buah negara lain termasuk Lubnan, Afghanistan dan Iran.

Oleh sebab ada banyak cerita menarik mengenai pengalamannya di sana, maka saya rasa ada di antaranya saya patut kongsikan di sini.

Menurut Chris, dia bermula sebagai seorang ‘backpacker’ setelah tamat belajar peringkat diploma dalam bidang sains aktuari. Sebelum mula mengembara, dia telah bekerja beberapa bulan untuk mengumpul duit terlebih dulu.

Katanya, waktu itu dia tidak berminat dengan sains aktuari dan ingin mengembara setelah membaca buku ‘The Kite Runner’. Buku ini telah membawanya ke Afghanistan dan dari situ bermulalah perjalanannya hingga ke Syria.

1. Ceritakan bagaimana keadaan Syria semasa anda di sana.

“Saya bersama seorang kawan menaiki kereta daripada Idlib ke Aleppo. Cuma kami berdua dan suasana pada waktu itu sangat menakutkan. Sepanjang perjalanan memasuki bandar Aleppo, bunyi bising jet pejuang, serangan udara dan bom sudah kedengaran.

“Ada banyak kereta yang telah musnah di sisi jalan. Risiko untuk kami dibom sangat tinggi kerana kereta-kereta yang melalui jalan raya sangat sedikit. Kami juga telah melalui salah satu hospital terbesar di Syria yang telah hancur sepenuhnya.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat kira-kira 4 kedai kecil yang masih menjual barang keperluan asas dengan harga yang sangat mahal.

“Tidak ada tempat yang selamat. Rejim Assad pada waktu itu menjadikan tempat tumpuan awam sebagai sasaran utama seperti sekolah dan hospital. Jika mereka berjaya membunuh seorang doktor, ia ibarat telah membunuh 1,000 orang penduduk.”

2. Bagaimana respon masyarakat setempat dengan kedatangan anda?

“Penduduk setempat sangat peramah. Saya rasa ramai di antara mereka sedar bahawa saya bukan beragama Islam tetapi mereka seolah- olah seperti tidak ambil kisah mengenainya. Saya dinasihatkan oleh NGO yang berada di sana supaya ‘buat-buat’ solat bila mereka solat untuk mengelakkan apa-apa situasi buruk.

“Ada satu keadaan apabila NGO yang menguruskan saya tidak ada bersama saya. Waktu itu saya dikelilingi mujahidin yang ramai dan memegang senjata api. Saya cuma seorang. Bila tiba waktu solat, saya terpaksa solat bersama mereka.

“Pergerakan solat mereka agak laju dan banyak pergerakan saya tertinggal. Saya terlalu risau kalau mereka tahu sebenarnya saya bukan Islam sebaliknya seorang Kristian.



“Jangkaan saya betul apabila salah seorang mujahidin tahu yang saya sebenarnya bukan Islam. Responnya sangat baik. Dia mengajar saya cara solat dan berwuduk yang betul kerana sebelum itu saya tidak tahu ada langkah-langkah yang tertentu untuk berwuduk.”

3. Jadi, selepas itu semua mujahidin dan penduduk dapat menerima bahawa anda bukan seorang Islam?

“Seperti saya katakan tadi, mereka tahu tapi mereka buat seperti tidak kisah kerana sebahagian daripada mereka ada juga yang ‘add’ saya di Facebook (ketawa). Sampai hari ini, kami masih lagi berhubung.

“Sebenarnya mereka tidak kisah pun sekiranya agama itu Islam atau Kristian kerana mereka tahu orang luar seperti saya cuma datang untuk mendapatkan berita. Mereka melindungi saya daripada bom, penembak ‘sniper’ dan kami berlari-lari ke sana sini untuk menyelamatkan diri. Saya selamat hari ini kerana mereka.”

4. Baru-baru ini ada jurnalis daripada Kanada menyatakan bahawa hospital di sana masih lagi selamat dan rakyat sebenarnya masih menyokong Bashar melalui pilihan raya. Apa pendapat anda?

“Mengenai hospital, itu adalah suatu penipuan. Saya berada di sana di kawasan Free Syrian Army (FSA). Mereka mengebom hospital tanpa belas kasihan setiap hari. Waktu itu saya sangat dekat dengan hospital dan apabila ada serangan udara, kami akan bersembunyi di tempat persembunyian bawah tanah.

“Soal sokongan ke atas Bashar melalui pilihan raya, saya juga berada di sana semasa pilihan raya berlangsung. Saya tidak tahu bagaimana dengan kawasan Rejim Assad tapi di bahagian FSA tidak ada apa-apa aktiviti pilihan raya yang berlaku. Jadi, pilihan raya itu bukanlah sesuatu yang menggambarkan sokongan rakyat sepenuhnya.”

5. Apa yang anda mahu katakan mengenai Islam yang dilabel sebagai agama keganasan?

“Saya tidak merasakan Islam adalah agama yang mengajarkan keganasan kerana kawan-kawan saya di Syria terlalu baik dengan saya dan kami masih berhubung hingga hari ini. Kita tidak boleh mendefinisikan Islam menurut apa yang Daesh atau ISIS lakukan.

“Di mana-mana akan ada golongan ekstrimis. Dan mereka tidak menggambarkan apa itu Islam. Saya tidak akan melabel Islam itu agama keganasan hanya kerana perlakuan kelompok seperti ini.”

Di akhir sesi temu ramah, Chris menceritakan bahawa ada 2 golongan yang masih tinggal di Syria.

Pertama, mereka yang mahu mempertahankan tanah air dan kedua, mereka yang miskin. Untuk menjadi pelarian ke mana-mana negara pun, mereka tetap memerlukan sedikit wang untuk memulakan hidup.

Menurut berita daripada seorang kawan kepada Chris, walaupun pernah beberapa kali gambar kanak-kanak Syria viral dan mendapat perhatian umum (salah satunya gambar mayat kanak-kanak di tepi pantai), namun keadaan di sana tetap tidak menunjukkan tanda-tanda positif.

Suhail Shukri
Jurnalis Muda

via Bin Usrah