Salahguna lorong kecemasan, Timbalan Ketua Pengarah JPJ didenda RM600


PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda RM600 terhadap Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob, kerana memandu di lorong kecemasan, lapor Berita Harian. 

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusoff Ayob selepas beliau mengaku bersalah melakukan kesalahan itu. 

Bagaimanapun, Yusoff tidak hadir ke mahkamah atas alasan sedang melakukan pemantauan dan pengakuan bersalah itu dibuat menerusi wakilnya yang juga pegawai khas beliau.

Jika didapati gagal membayar denda RM600 yang dikenakan, mahkamah akan mengenakan hukuman penjara selama tujuh hari. 


Yusoff melakukan kesalahan itu pada jam 6.27 petang, pada 7 Oktober 2016 di Lingkaran Putrajaya, menyebabkan beliau didenda mengikut Seksyen 119(1)(c) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Pada 23 Jun lalu, Yusoff dilaporkan berkata JPJ tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan jalan raya lebih-lebih lagi ketika musim perayaan. 

"Tindakan tegas akan dikenakan kerana jumlah saman yang dikeluarkan oleh pihaknya untuk pelbagai kesalahan meningkat dari masa ke semasa," katanya. 

Sementara itu reaksi netizen di media sosial menyifatkan tindakan penjawat awam berkenaan telah mencemarkan imej JPJ dan kerajaan secara amnya. 

"Mohon dikenakan tindakan tatatertib. Pegawai yang mendukung undang-undang itu sendiri melakukan kesalahan melanggar undang-undang. Ibarat seorang hakim menjatuhkan hukuman ke atas pesalah rogol akan tetapi hakim itu sendiri melakukan jenayah tersebut," kata Ku Ahmisuhaimi.