Kes selesai, mangsa & tenaga pengajar berdamai


JITRA, KEDAH - Susulan kes seorang pelajar pusat latihan perindustrian dikasari tenaga pengajar sehingga tersebar di media sosial, kedua-dua pihak tampil menyelesaikan kes itu secara dalaman, lapor Harian Metro

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, magnsa dan bapanya serta tenaga pengajar terbabit datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu jam 11.45 malam tadi bukan untuk membuat laporan berhubung kes tersebut, sebaliknya tidak mahu memanjangkan isu berkenaan. 

"Saya dimaklumkan kes itu hanya salah faham kerana berlaku kecuaian ketika pemasangan pendingin hawa itu sehingga menimbulkan kemarahan tenaga pengajar berkenaan. 

"Penuntut dan tenaga pengajar terbabit bagaimanapun bersepakat untuk berdamai dan menyelesaikan kes itu secara dalaman tanpa memanjangkan sehingga menjadi kes polis," katanya. 

Beliau berkata, disebabkan kes itu viral di media sosial, pihaknya turut menghantar detektif ke pusat latihan itu semalam untuk mengambil keterangan mangsa. Mangsa juga dibawa ke Hospital Jitra untuk menjalani pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya mengadu pedih di bahagian pipi. 

Walaupun begitu, mangsa boleh membuat laporan polis pada bila-bila masa sekiranya tidak berpuas hati atau ada sebarang masalah berhubung kes tersebut. 

Justeru, Abd Hadi menasihatkan orang ramai tidak terus menyebarkan kejadian itu sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai kerana kes itu telah diselesaikan antara kedua-dua pihak. - The Reporter

Artikel berkaitan:

'Isteri tiada sesiapa lagi setelah berkahwin dengan suami'

Gambar hiasan | @HijabFotografi

Saya setuju dengan apa yang Ustaz Ebit Lew katakan. Isteri dah banyak kali 'mati' untuk kita (suami). Secara zahirnya mereka sedang melahirkan anak untuk kita, tetapi hakikatnya mereka 'sedang mati' untuk kita. 

Saya selalu berpesan kepada adik dan kawan-kawan lelaki, hargailah isteri walau apa pun yang terjadi. Jangan kerana sedikit kelemahan mereka, kita melihat kelebihan yang ada pada perempuan lain. Kadang-kadang belum tentu perempuan lain dapat membahagiakan kita sebagaimana isteri kita lakukan sekarang. 

Ketahuilah bahawa, isteri tiada sesiapa lagi setelah berkahwin dengan kita. Segala suka duka semuanya diharungi bersama kita. Ada mak ayah menangis setelah anak sah menjadi isteri orang. Mereka gembira dalam masa yang sama, mereka risau dan berharap agar kita mampu menjaga anak mereka dengan baik. 

Tiba-tiba hari ini, kita dengar kes suami pukul isteri, suami curang dengan isteri. Mula tidak menyayangi isteri, mula ada perempuan lain. Kenapa ada lagi lelaki yang sanggup menceraikan isteri dan meninggalkan mereka sebatang kara bersama anak-anak semata-mata masalah yang kecil? 

Kita sebagai suami sepatutnya melindungi mereka, membimbing mereka, menjaga amanah yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Sebelum kahwin, semua syarat kita boleh terima tetapi kenapa setelah kahwin kita lupa segala syarat yang diberikan? 

Sebelum kita pukul isteri, tampar isteri, cuba minta kawan tampar ibu kita. Apa kita rasa? Kalau tak koma, mungkin mati si kawan itu. 

Sebab itulah saya berpesan kepada remaja sekarang, kalau sukakan perempuan, niat kerana Allah. Jika kita letak hukum Allah dalam cinta kita kepada perempuan, kita akan menghargai mereka sampai mati. 

Cinta memerlukan pengorbanan. Sahabat Nabi S.A.W sanggup putus jari, putus tangan, kaki dan kepala untuk mendapatkan Cinta Allah. Khadijah r.ha asalnya orang yang sangat kaya, sanggup korbankan kekayaan demi Allah dan Rasul. 

Begitu jugalah jika kita cinta pasangan kerana Allah. Pimpin keluarga untuk ikut kehendak Allah. Dalam hubungan ketapikan kehendak kita. Berusaha menunaikan kehendak pasangan. 

Suami isteri etiap hari puji pasangan, ucap terima kasih, sayang, rindu pada pasangan. Luangkan masa untuk mendengar setiap keluhan, masalah pasangan. Jadi pendengar yang setia setiap perkongsian. 

Tuan puan, banyak bagi masa untuk berdoa. Mengadu segalanya kepada Allah, tiada sesiapa pun dapat menyelesaikan masalah kita kecuali Allah. Tiada sesiapa pun yang dapat menenangkan hati kita kecuali Allah. Tiada sesiapa pun yang dapat membahagiakan kita kecuali Allah. 

Bayi 2 bulan diberi makan pisang & biskut marie sejak usia sebulan, maut



DIBERI MAKAN PISANG & BISKUT MARIE, BAYI 2 BULAN INI MENEMUI ILAHI

Semalam tersebar screenshot whatsapp tentang kematian bayi berusia 2 bulan yang mati dipercayai kerana makan pisang dan biskut marie di Indonesia. Ada orang tanya saya betul ke pisang dan biskut marie boleh menyebabkan kematian tersebut. Ini ulasan saya berdasarkan info terhad pada screenshot whatsapp yang ada.

Info yang ada:
  1. Bayi berusia 2 bulan.
  2. Diberi makan pisang & biskut marie sejak usia 1 bulan
  3. Mati kerana pneumoni berat
  4. Perut membusung berdasarkan gambar
Pemberian makanan berbentuk pepejal atau semi-pepejal kepada bayi berusia bawah 4-6 bulan berisiko menyebabkan usus sumbat. Antara tandanya ialah perut membusung (abdominal distension) kerana usus membengkak akibat pengumpulan makanan dan minuman yang terhalang. 

Apabila usus sumbat, risiko untuk bayi muntah-muntah adalah tinggi, lebih-lebih lagi jika pemberian minuman atau makanan tetap diteruskan. Kebiasannya muntah (vomitus) ini keluar mengikut mulut dan kadang-kadang hidung atau tertelan semula, namun ia boleh juga masuk ke dalam saluran pernafasan hingga paru-paru (aspiration into the lung) terutamanya bagi bayi.

Apabila muntah ini masuk ke dalam paru-paru, ia menyebabkan keradangan paru-paru (pneumonia) yang boleh mengakibatkan kesukaran untuk bernafas. Jika radang terlalu teruk (severe pneumonia = pneumoni berat), ia boleh menyebabkan kematian.

Salam.admin minta siarkan pic nie..kejadian di indonesia baby baru 2 bulan mak die kasih pisang dengan bubur ya allah sedih sngat..baby meninggal...
Posted by Info Ibu Hamil on Monday, February 27, 2017

Pengajarannya, bukan semua petua atau tradisi boleh diikut bulat-bulat. Jika ada petua yang disahkan merbahaya berdasarkan landasan ilmu, tinggalkan sahaja. 

Elakkan juga daripada jadi baik tidak bertempat dengan memberi makanan kepada anak orang lain tanpa izin ibubapanya kerana anak itu mungkin ada kontraindikasi kepada makanan tertentu. Niat memang baik, tapi caranya salah.

Beri makanan pelengkap pada usia 6 bulan bermula dengan bentuk semi-pepejal, secair yang boleh dahulu, kemudian baru ditambah kepekatannya mengikut kesesuaian.

Jika bayi muntah-muntah dan perut membusung, dapatkan konsultasi di fasiliti kesihatan dengan segera.

Nota 1: Ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan info terhad pada satu screenshot whatsapp sahaja dan bukannya diagnosis atau situasi sebenar selagi tiada pengesahan daripada pihak terlibat.

Nota 2: Ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan info terhad pada satu screenshot whatsapp sahaja dan bukannya diagnosis atau situasi sebenar selagi tiada pengesahan daripada pihak terlibat.

Ditinggalkan suami, ibu tunggal sara 4 orang anak seorang diri



Saya baru balik dari menemui seorang ibu tunggal yang ditinggalkan suami dengna empat orang anak. Yang sulung tingkatan 3, yang nombor dua, darjah 4, yang nombor 3 darjah 3 dan yang bongsu ini berumur 4 tahun dan anak ini adalah anak istimewa kerana dia insan yang Allah pilih untuk diuji di dunia. 

Anak bongsunya menghidap penyakit jantung, sedang menunggu giliran untuk pembedahan di IJN serta sedang dirawat dan suspek lukemia pula. Dia juga menghidap down syndrome.

Hebat anak kecil ini dan kisah anak ini dan keperitan ibunya membuatkan saya tidak boleh tidur lena. Kepala ligat memikirkan bagaimana seorang lelaki yang mempunyai empat orang anak tetapi tidak bertanggungjawab sedikit pun pada anak-anak yang ditinggalkan. 

Kisah Puan E ini diceritakan kepada saya oleh seorang follower di Facebook. Saya kemudian menghubungi Puan E dan kami berjumpa. Malang sungguh nasib wanita ini. Sebelum ini, dia bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat bumiputera. Katanya majikannya baik, seminggu dua tiga kali cuti kecemasan pun majikan bertolak ansur kerana memahmi anaknya yang sering sakit. Malangnya syarikat tempat ddia bekerja ini akan berpindah ke Kuala Lumpur (sebelum ini di sebuah daerah di Selangor) menyebabkan Puan E terpaksa berhenti kerja. 

Puan E pernah mendapat bantuan zakat, tetapi dihentikan kerana katanya dia masih boleh bekerja mencari nafkah. Sewa rumah tidak berbayar, akhirnya sekarang dia dan anak-anaknya tinggal menumpang di rumah kawannya di sebuah apartment. 

Nak mencari kerja pun susah sebab anaknya sering sakit, malah dia juga kena berulang-alik IJN dan HKL. Katanya nanti akan menyusahkan majikan. Puan E bercadang untuk pulang ke kampung. Namun buat sementara waktu ini dia terpaksa berada di sini kerana menunggu giliran pembedahan anaknya itu. InshaAllah selesai pembedahan itu, dia dan anak-anaknya akan pulang ke kampung. (Keluarga sendiri pun susah kata dia).

Sedihnya ke hulu ke hilir untuk menguruskan perpindahan sekolah anak-anak sendirian dan tanpa ada sebarang pendapatan. Dia hanya mengharap ehsan kawan-kawan dan dia ada buat kerja mengambil upah membantu majikan Cina buat kerja sedikit. Upah yang diterima, RM30. Itupun bukan setiap hari ada kerja. 

Aduhai, menahan air mata saya mendengar ceritanya tadi. Memandang wajah anak syurga ini saja sudah cukup menyedihkan hati. InshaAllah saya bercadang order nasi lemak untuk feeding homeless Jumaat ini dengan dia. 

Bila saya tanya, dia boleh masak nasi lemak, tak? Dia kata boleh. Jadi saya dahulukan sejumlah wang sebagai modal untuk dia buat nasi lemak. Semoga dia mendapat sedikit keuntungan pun jadilah, buat belanja sekolah anak-anak dia. 

InshaAllah kami sedang berbincang lagi bagaimana mahu membantunya. Yang penting, untuk sementara sahaja kerana selepas pembedahan anaknya, dia buat keputusan untuk pulang ke kampung. Kalau ada yang ingin bersedekah kepada beliau dan anak-anaknya yang sedang menuntut ilmu dan anak syurga ini, boleh hubungi saya terus untuk diberikan nombor akaun banknya.

Kenapa perlu menghubungi saya? Kerana saya sudah serik mendedahkan nombor akaun bank secara terbuka. Nanti ada ahli keluarga yang tahu dan mula mengambil kesempatan. Muncul pula si ayah mengungkit itu ini. Ada saja isu yang timbul. Jadi, kalau benar mahu memberikan sumbangan, boleh menghubungi saya di Facebook. 

Jujurnya, mereka ini sangat memerlukan bantuan. 

Kemaskini: 

Disebabkan ramai sangat yang menghubungi saya untuk meminta nombor akaun dan saya pula sibuk tak dapat nak balas semua mesej dan setelah berbincang dengna setiausaha Pink Squad, tuan/puan boleh hulurkan sumbangan ke akaun bank Puan Razlina Abd Rani. InshaAllah semua sumbangan yang diberi akan terus disalurkan kepada Puan E. 

Ini optional saja ye. Saya tidak mahu menggunakan akaun bank sendiri sebab akaun saya dok masuk duit sedekah Jumaat. Saya tak mahu campur aduk. 

Kenapa bukan akaun pertubuhan? Akaun pertubuhan adalah akaun semasa. Nak keluarkan duitnya perlu menggunakan cek dan susah nak trace satu persatu bantuan untuk Puan E. Kalau anda masih ragu-ragu, boleh hubungi saya untuk meminta nombor akaun Puan E. Tetapi maaf jika saya lambat balas sebab hari ini saya kerja dan sibuk. 

Akaun Razlina Abd. Rani 1142 9931 1937 (Maybank)

Sila e-melkan transaksi anda ke email pinksquad16@gmail.com (untuk semakan kami)

'Mama tahu adik sakit, adik pergilah dik, adik jangan susah hati nak tinggalkan mama'


Pilu hati seorang ibu mengungkap kata sedemikian pada anak kecilnya yang menderita dan menghidap tumor dalam kepala. 

Dialah yang menyaksikan sendiri bagaimana kuatnya arwah yang berusia setahun itu terus berjuang untuk terus hidup sehinggalah menghembus nafas terakhir pada 28 Januari 2017. Marilah kita sedekahkan Al-fatihah kepada arwah Nur Alisya Naufaleen.


Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum dan selamat pagi kawan-kawan semua. Hari ini tanggal 28 Februari 2017, genaplah sebulan Nur Alisya Naufaleen telah pergi imeninggalkan saya dan kakak-kakaknya. 

Arwah anak saya merupakan seorang anak yang cukup kuat, cukup baik dan cukup segala-galanya. Saya telah menyedari kepala arwah agak besar berbanding kakak-kakaknya yang lain sejak umur arwah lima bulan. Saya ada bertanya pada keluarga, adakah anak saya kelihatan normal? Mereka mengatakan 'Ya' pada saya. Jadi saya tidak ambil apa-apa tindakan. Bahkan keputusan ukur lilit sewaktu arwah berusia 7 bulan masih berada dalam lingkungan normal. 

Anak saya tidak pernah mengalami demam yang lama dan sentiasa kelihatan sihat dan cerita. Sampailah anak saya berusia setahun, saya tertanya-tanya kenapa anak saya masih tidak boleh berjalan? Tetapi ahli keluarga tetap memberikan jawapan yang positif dengan mengatakan mungkin anak saya malas dan ada juga yang kata,

"Jangan risau, anak semua tak sama. Ada yang cepat dan ada yang lambat"

Mendengar kata-kata mereka itu, hati saya kembali tenang seketika. 



Bulan berganti bulan, sampailah ada suatu ketika di mana ayah saya telah kembali ke rahmatullah juga ialah pada 23 November 2016. Dan dua hari selepas pemergian ayahanda tercinta, arwah anak saya telah dimasukkan ke dalam wad kerana arwah ketika itu kelihatan amat tidak bermaya dan hanya terbaring sahaja. Dari situ, pihak hospital telah menjalankan beberapa ujian terhadap arwah anak dan suspek ada sesuatu di dalam kepala arwah. 



Akhirnya pada 3 Januari 2017, segala persoalan saya terjawab. Anak saya disahkan mempunyai cecair yang banyak dalam kepala. Pelbagai cara yang saya lakukan untuk merawat arwah. Dan setelah anak saya menjalani ujian MRI, barulah doktor pakar dari Hospital Tunku Abdul Rahman (HTAR) berkata pada saya bahawa arwah bukan sahaja mempunyai cecair dalam kepala, tetapi juga mempunyai tumor yang sangat besar. 

Pada waktu itu, saya terasa diri ini seperti dipanah petir. Lutut dan kaki tidak terasa lagi, lalu saya jatuh terjelepuk keseorangan dan menangis. Mata saya tetap melihat arwah. Saya bangkit semula dan dapatkan arwah, lalu memeluknya. Cukup kuat anak yang berusia setahun lebih menanggung tumor yang sangat besar. 

"Patutlah anak saya tak boleh berjalan," kata saya dalam hati. 

Arwah selamat menjalani pembedahan pertama iaitu VP Shunt. Bayangkan seorang anak kecil telah ditebuk di kepala, perut dan memakai tiub dari kepala sehingga ke perut. Arwah tetap kuat. Setelah menjalani pembedahan itu, tumor kelihatan lebih besar dari scan dan MRI sebelum ini. 6.5 cm x 4.3 tahap 4. 


Menurut doktor pakar bedah otak, arwah dikatakan harus menjalani pembedahan dengan segera. Saya cuba nak menyelamatkan arwah dengan menandatangani dokumen-dokumen untuk pembedahan besar itu. Lalu pada 23 Januari 2017, arwah telah ditolak masuk ke dalam dewan bedah dan menjalani pembedahan hampir 10 jam. 

Arwah dikatakan stabil walaupun koma, setelah tamat proses pembedahan itu. Namun dugaan saya tersilap apabila arwah terpaksa dibedah sekali lagi pada jam 3 pagi, 24 Januari dan arwah telah ditolak keluar dari dewan bedah pada jam 10 pagi dan dimasukkan ke ruang HDW. 

Doktor bedah juga telah berjumpa dengan saya dan keluarga. Beliau mengatakan bahawa arwah tidak mempunyai harapan lagi. Namun saya tidak pernah demu dalam mendoakan arwah. Malah ramai kawan-kawan mendoakan agar ada keajaiban. Subhanallah, banyak hikmah yang terjadi. 

Akhirnya pada 28 Januari 2017, arwah telahpun kembali ke rahmatullah dan berada di sisi Allah swt. Arwah seorang yang kuat dan saya sebagai ibunya telah menyaksikan sendiri bagaimana kuatnya arwah berjuang untuk terus berada di samping saya. Lalu saya berbisik kepadanya,

"Adik, mama akan kuat dik. Mama janji dik, mama kuat sama macam adik. Mama tahu adik sakit, adik pergilah dik. Bukan mama tak sayang adik. Mama sayang. Sebab mama sayang adiklah mama minta adik pergilah dik. Mama halalkan susu mama dan mama janji mama akan jaga kakak-kakak adik dengan baik.

"Adik jangan susah hati nak tinggalkan mama. Mama tahu adik sayang mama sangat sebab itu adik susah nak tinggalkan mama, kan? Adik, pergilah dik. Adik janji tau, adik kena tunggu mama di syurga," 

Khalimah syahadah saya bisikan sebanyak tiga kali dan akhirnya setelah penat berjuang selama lima hari untuk bangkit dari koma, arwah telahpun menghembuskan nafasnya buat kali terakhir pada 11.14 pagi. Sayalah yang memangku arwah, memeluknya ketika arwah sedang nazak. Dengan kuasa Allah, arwah membuka matanya sedikit dan terasa seperti tangan saya digenggam olehnya. Saat arwah hendak pergi, mungkin itulah pandangan terakhir dari arwah untuk mengingati wajah saya sebagai ibunya. 



Buat kawan-kawan semua, maaf saya banyak menyepikan diri setelah kehilangan arwah. Saya cuma rasa tak kuat nak buka Facebook ini sebab terlalu banyak kenangan tentang arwah. Hari ini tak tahulah dari mana datangnya kekuatan ini. Saya amat berharap pada kawan-kawan semua, ambil perkarai ni dengna serius dan jadikan sebagai pengajaran. Kalau ada rasa tak sedap hati, cepat-cepat bawa anak pergi buat pemeriksaan. Jangan dengar kata orang dan percaya pada naluri seorang ibu. Saya sudah cuba yang terbaik, namun Allah lebih menyayangi Nur Alisya Naufaleen. Marilah kita sama-sama sedekahkan yasin dan Al-Fatihah buat arwah puteri kesayangan saya, Nur Alisya Naufaleen. Al-Fatihah.